Blatter sokong boikot Piala Dunia 2026 di AS susulan tindakan pentadbiran Trump

Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter sokong cadangan boikot oleh penyokong bola sepak terhadap perlawanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat susulan tindakan dan dasar Presiden Donald Trump. - Gambar fail/FIFA
ZURICH: Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter menyokong cadangan boikot oleh penyokong bola sepak terhadap perlawanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), susulan tindakan dan dasar Presiden Donald Trump serta pentadbirannya, baik di dalam mahupun luar negara.
Blatter menjadi tokoh terbaharu dalam komuniti bola sepak antarabangsa yang mempersoalkan kesesuaian AS sebagai negara tuan rumah, dengan menyatakan sokongannya terhadap boikot itu menerusi satu hantaran di platform X pada Isnin.
AS akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Kanada dan Mexico, yang dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.
Dalam kenyataannya, Blatter menyokong pandangan Mark Pieth, seorang peguam Switzerland yang pakar dalam jenayah kolar putih dan antirasuah yang menggesa peminat bola sepak supaya tidak menghadiri perlawanan di AS.
“Jika kita menilai semua perkara yang dibincangkan, hanya ada satu nasihat kepada penyokong: jauhi Amerika Syarikat,” kata Pieth dalam satu wawancara bersama akhbar Switzerland, Der Bund, minggu lalu.
Pieth, yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Tadbir Urus Bebas bagi pemantauan pembaharuan FIFA sedekad lalu, turut berkata pengalaman menonton kejohanan itu lebih baik disaksikan menerusi televisyen.
“Anda akan menontonnya dengan lebih selesa di TV. Dan jika hadir ke sana, penyokong perlu bersedia untuk dihantar pulang segera jika mereka tidak menyenangkan pihak berkuasa - jika mereka bernasib baik,” katanya.
Dalam hantaran di X, Blatter memetik kenyataan Pieth dan menulis: “Saya fikir Mark Pieth betul untuk mempersoalkan Piala Dunia ini.”
Blatter, 89, memegang jawatan Presiden FIFA dari 1998 hingga 2015 sebelum meletak jawatan susulan siasatan rasuah yang melanda badan induk bola sepak dunia itu.
Kebimbangan komuniti bola sepak antarabangsa terhadap AS dikaitkan dengan beberapa tindakan pentadbiran Trump, termasuk pendirian luar negaranya, sekatan perjalanan, serta pendekatan tegas terhadap migran dan penunjuk perasaan berkaitan penguatkuasaan imigresen di beberapa bandar, khususnya Minneapolis.
Dua minggu lalu, rancangan perjalanan penyokong dari dua negara bola sepak utama Afrika turut terjejas apabila pentadbiran Trump mengumumkan larangan perjalanan yang secara berkesan menghalang penyokong dari Senegal dan Ivory Coast daripada memasuki AS, kecuali mereka yang telah memiliki visa.
Trump menyatakan “kelemahan dalam proses saringan dan tapisan keselamatan” sebagai alasan utama penggantungan itu.
Selain itu, penyokong dari Iran dan Haiti, dua lagi negara yang telah melayakkan diri ke Piala Dunia, turut dilarang memasuki AS, selepas disenaraikan dalam fasa awal larangan perjalanan yang diumumkan oleh pentadbiran Trump.
Isu ini sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai hubungan antara sukan dan politik, serta kebimbangan bahawa dasar imigresen dan keselamatan boleh menjejaskan keterangkuman serta semangat global kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


