Penantian peminat bola sepak negara akhirnya termakbul selepas kerajaan hari ini membenarkan sukan kegemaran ramai itu bermula 15 Ogos ini.

Sukan tersebut merupakan antara aktiviti kejohanan dan pertandingan yang dibenarkan tanpa membabitkan penonton, dan ia perlu dilangsungkan di peringkat negara sahaja.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat.

“Justeru, sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw dan skuasy dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.

“Contoh kejohanan untuk sukan berpasukan adalah Liga Super dan Liga Perdana bagi bola sepak, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Ragbi. Ini liga yang dibenarkan untuk memulakan pertandingan mereka nanti,” katanya dalam sidang media, di sini pada Jumaat.

Jelas Ismail Sabri pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal oleh operator premis.

Katanya, penganjur acara perlu mematuhi prosedure operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk SOP Am Pengurusan, SOP Am Pra-Penganjuran dan SOP Am Penganjuran.

Antara SOP tersebut:

- Setiap peserta atau pemain yang masuk perlu memuat turun aplikasi MySejahtera; disaring suhu badan dan gejala sakit.

- Kawalan bilangan petugas dan pengguna dihadkan dan mengikut sesi dan keluasan premis.

- Peralatan perlu dibersih atau dinyahkuman selepas setiap penggunaan.

- Menggalakkan pengguna membuat tempahan atau pengesahan dalam talian atau melalui telefon sebelum
hadir ke premis.