KUCHING: Gelaran ‘Datuk’ tiada dalam buruan ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Sebaliknya pemenang pingat emas Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo itu mahu fokus kepada menambah koleksi kecemerlangan untuk negara.

Memetik laporan Utusan Borneo Online, Pandelela, 28 tahun berkata, beliau komited dalam menaikkan nama baik negara di persada antarabangsa menerusi acara sukan tersebut.

"Tidak penting bagi saya, sama ada saya mahupun ahli keluarga saya harus diberi gelaran (Datuk). Ini bukan objektif saya sebagai seorang atlet.

"Saya lakukan ini kerana minat yang mendalam kepada sukan ini (terjun) dan mahu merasai pencapaian saya hasil kerja keras saya serta mereka yang banyak membantu," katanya.

Kata anak kelahiran Kampung Jugan, Bau itu, beliau amat menghargai penghargaan dan insentif diberikan kepadanya selama ini.

"Penajaan sudah tentu amat membantu atlet kerana ia adalah pendapatan tambahan kepada kami.

“Sukan adalah sebahagian daripada pekerjaan kami dan semua ini akan membantu apabila kami bersara kelak," ujarnya.

Perdebatan mengenai penganugerahan Datuk kepada Pandelela mula hangat selepas Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat gelaran itu masih terlalu awal jika hendak diberikan.

BACA: Pandelela 'menyinari' skuad terjun di Piala Dunia FINA 2021


Emas FINA | Agong zahir ucapan tahniah kepada Pandelela

BACA: Masih muda, belum masa Pandelela terima gelaran Datuk - Abdul Karim

Abdul Karim pada masa sama tidak menafikan hak insentif-insentif lain yang mungkin akan diberikan kepada Pandelela susulan kejayaan meraih pingat emas pertama negara dalam Kejohanan berkenaan pada 5 Mei lalu.

Pandelela sebelum ini mengumpul dua koleksi pingat Olimpik iaitu gangsa pada temasya Olimpik London 2012 menerusi acara 10 meter platform dan pingat perak menerusi acara 10 meter berirama pada Olimpik Rio de Janeiro 2016.