Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee enggan 'diangkat' terlalu tinggi atas persembahan terpuji ditonjolkan Malaysia sepanjang mengharungi saingan bola sepak pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Sebaliknya, beliau berkata pencapaian membanggakan anak buahnya itu yang meraih dua kemenangan termasuk mengejutkan gergasi Asia yang juga juara bertahan, Korea Selatan 2-1 untuk mengungguli saingan Kumpulan E adalah kerana hasil usaha keras para pemain.

"Saya tak ingin menyentuh tentang sejauh mana tahap yang saya boleh capai...yang penting ialah pasukan ini. Saya mahu mereka terus menumpukan perhatian pada perlawanan yang akan datang dan apa jua keputusan sama ada positif atau negatif, ia terpulang kepada seluruh pasukan.

"Sekiranya mereka berjaya mara ke peringkat lebih tinggi, bukan saya yang mencipta sejarah tetapi pemain-pemain ini," katanya ketika ditemui media Malaysia pada sesi latihan rasmi skuad negara di sini.

BACA: Menang ke atas Korea Selatan, rakyat Malaysia tidak bermimpi

BACA: Malaysia tewas tipis 2-3 dengan Bahrain

BACA: Sukan Asia: Malaysia mengalahkan Kyrgyzstan 3-1

Malaysia akan berdepan Jepun yang menamatkan saingan Kumpulan D selaku naib juara di belakang finalis Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018, Vietnam pada aksi pusingan kedua di Stadium Pakansari, Jumaat ini.

Pada masa sama, Kim Swee berharap pencapaian tersebut dapat membuka mata semua peminat bola sepak tanah air untuk terus memberikan sokongan kepada skuad negara selain menjadi inspirasi kepada semua pasukan muda negara termasuk skuad Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan.

Katanya tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekiranya sesebuah pasukan itu bersedia memberikan sepenuh tumpuan dan kesungguhan.

"Kita buatkan peminat di tanah air dan rakyat Malaysia percaya... percaya yang kita boleh buat dengan betul dan percaya kita boleh tumbangkan gergasi.

"Keputusan dengan Korea Selatan menunjukkan kita boleh capai apa yang kita mahu. Ia tidak mustahil... bukan sahaja bagi kami tetapi juga B-19 dan B-16 untuk mencapai objektif sama.

"Namun, paling penting kita tidak perlu beri terlalu banyak tekanan kepada anak-anak muda ini sebaliknya beri motivasi kepada mereka - kita perlu bentuk mereka, itu yang paling penting," katanya.

-- BERNAMA