KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil keputusan membatalkan kesemua kejohanan yang mendapat pengiktirafannya di Rusia dan Belarus sehingga diberitahu kelak berikutan operasi khas tentera Rusia di Ukraine.

Badan dunia itu menerusi satu kenyataan juga mengumumkan bendera Rusia dan Belarus tidak akan dikibarkan dan lagu kebangsaan kedua-dua negara itu tidak akan dimainkan di mana-mana kejohanan yang diiktiraf BWF.

"BWF akan menyampaikan rasa simpati yang mendalam dan keprihatinannya kepada Persatuan Badminton Ukraine dan akan menyelaraskan sokongan khas kepada komuniti badminton Ukraine di mana mungkin.

BWF akan terus memantau keadaan dengan rapi dan secara proaktif memberikan nasihat kepada rakan pergerakan sukan antarabangsa kami untuk membincangkan pilihan lain untuk mengukuhkan potensi langkah yang akan diambil terhadap Kerajaan Rusia dan Belarus, menurut kenyataan itu.

Badan pentadbir badminton dunia itu mengeluarkan kenyataan ini selepas Mesyuarat Majlis BWF yang mengutuk serangan tentera Rusia ke atas Ukraine dan menzahirkan kebimbangannya ke atas orang awam yang terkesan akibat konflik itu.

Menurut kenyataan itu BWF amat mempercayai bahawa sebarang konflik seharusnya diselesaikan tanpa menggunakan sebarang kekerasan dan menzahirkan kepercayaan dalam sumbangan pergerakan sukan kepada keamanan dan perpaduan antara insan.

"BWF menyokong sepenuhnya kenyataan umum Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan menzahirkan kekecewaaan dan mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran "Olympic Truce" Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu oleh Rusia dan Belarus.

BWF berdiri teguh bersama keseluruhan pergerakan sukan antarabangsa untuk menggesa semua pihak supaya menghentikan keganasan dan mengekalkan keamanan," kata BWF.

Serangan Rusia ke atas Ukraine memasuki hari kelima selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan campur tangan ketenteraan Khamis lepas, beberapa hari selepas mengiktiraf dua wilayah dikuasai pemisah di timur Ukraine.

Campur tangan Rusia itu mendapat reaksi negatif daripada masyarakat antarabangsa dengan Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Kremlin.

-- BERNAMA