LYON 2 PSG 4

Kylian Mbappe menjelaskan bahawa dia masih jauh untuk mencapai kemuncak prestasi selepas meledak jaringan ke-100 dalam Ligue 1 ketika Paris Saint-Germain (PSG) unggul dengan kemenangan 4-2 di Lyon, awal pagi tadi.

Mbappe membuka akaun jaringan sebelum melengkapkan kemenangan PSG untuk memanfaatkan kekalahan tuan rumah, Lille, kepada Nimes bagi merampas kedudukan pendahulu dengan perbezaan gol, manakala Danilo Pereira dan Angel Di Maria turut menemui penyudah buat juara bertahan itu.

Lyon cuba memberi saingan menerusi gol daripada Islam Slimani dan Maxwel Cornet sementara Mbappe terpaksa dikeluarkan awal gara-gara kecederaan.

Ia bukan kecederaan yang membimbangkan selepas bintang Perancis itu terpilih untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dalam jadual antarabangsa selepas ini, maka tidak hairanlah Mbappe masih mampu mengukir senyuman.

Penyerang itu mempunyai banyak alasan untuk tersenyum apabila muncul sebagai pemain termuda yang meledak 100 jaringan dalam Ligue 1 sebaik menyempurnakan umpanan Marco Verratti untuk mengatasi halangan Anthony Lopes.

Dia merakamkan prestasi itu pada usia 22 tahun, tiga bulan dan satu hari.


Sebelum ini, pemain Saint-Etienne, Herve Revelli, merupakan pemain termuda yang mencapai angka tiga digit ketika membintangi Lyon pada 1969 -- juga pada umur 23 tahun lima bulan.

Mbappe sebaliknya ingin menekankan gambaran yang lebih besar sambil menyatakan kelegaannya dapat menebus kesilapan hantarannya yang membuka ruang kepada Randal Kolo Muani untuk menyamakan kedudukan dalam kekalahan 1-2 PSG kepada Nantes dalam perlawanan liga sebelum ini.

"Ini adalah tarikh yang baik untuk menjaringkan gol ke-100 saya," katanya kepada Canal Plus. "Selepas hantaran saya kepada Kolo Muani ketika menentang Nantes, saya terpaksa bertindak balas dengan baik.

"Apa yang saya fikirkan ketika menjaringkan gol ke-100? Ia adalah kemenangan kerana saya tahu kami akan menang.

"Dan ini adalah satu lagi langkah besar dalam karier saya dan ini merupakan sebahagian daripada sejarah. 100 gol, ia bagus tetapi saya perlu teruskan usaha. Saya masih mempunyai karier yang panjang lagi untuk menyempurnakan diri.

"Kami memperagakan aksi mantap, kami menang dan kami merampas puncak saingan. Kami mahu pastikan ia tidak hilang lagi.

"Adakah keputusan Lille memberi kesan kepada prestasi kami? Ya, ada sedikit. Tetapi kami datang ke mari memang untuk menang.

"Kami telah memeriksa tarikh itu dalam kalendar, kami tahu ia adalah detik penting dalam kejohanan ini. Kami tahu mereka akan sering mencetuskan masalah kepada kami. Tetapi kami turun dengan keyakinan dan kami meletakkan karakter di dalamnya."

Ditanya mengenai pengaruh Mauricio Pochettino, yang mengambil alih tugas Thomas Tuchel sejak Januari lalu, Mbappe menjawab: "Kami mengubah sistem permainan di bawah bimbingannya. Setiap pengurus yang datang mempunyai falsafah tersendiri. Kami turun dengan pendekatan berbeza, ia mula menonjol sedikit demi sedikit. "