CHELSEA melengkapkan dominasi kelab Liga Perdana Inggeris di pentas Eropah selepas mara ke perlawanan akhir Liga Europa.

Skuad bimbingan Maurizio Sarri mara selepas menundukkan Eintracht Frankfurt 4-3 dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan separuh akhir kedua yang berlangsung awal pagi tadi.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, Chelsea dipaksa berhempas pulas selepas seri 1-1 dalam tempoh permainan yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

Selepas seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama, Ruben Loftus Cheek membuka jaringan buat Chelsea pada minit ke-28.

Jaringan Luka Jovic pada minit ke-49 buat Eintracht Frankfurt menjadikan perlawanan bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Eden Hazard menyempurnakan sepakan terakhir buat Chelsea selepas penjaga golnya Kepa Arrizabalaga berjaya menyelamatkan dua sepakan lawan sebelum itu.