KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe boleh menarik nafas lega selepas jadual terbaharu saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dikeluarkan pada Rabu.

Cheng Hoe sangat gembira dan berterima kasih kepada MFL yang mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk meminda kalendar Liga-M 2021 bagi memastikan skuad Harimau Malaya mendapat lebih ruang dan masa bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

"Terima kasih juga kepada pasukan atau kelab kerana memahami dan memberi kerjasama untuk pindaan jadual liga ini yang mana ia sudah tentu akan memberikan lebih masa kepada skuad Harimau Malaya menjalani kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan kelayakan yang cukup penting ini.

"Semua tahu, pencabar lain seperti UAE, Vietnam dan Thailand telah melakukan persiapan cukup rapi, dan ada antara mereka menghentikan saingan liga domestik bagi memberi lebih ruang kepada persiapan pasukan kebangsaan mereka," katanya dalam satu hantaran dimuat naik di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

 
Sumber Facebook FAMalaysiaOfficial

Berdasarkan jadual dikeluarkan itu, perlawanan ke-11 dan ke-12 Liga Super dan Liga Premier 2021 yang sepatutnya berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri, antara 18 hingga 23 Mei, diawalkan ke bulan ini.

Perubahan itu menjadikan lima hari perlawanan Liga Super 2021 dan empat hari perlawanan Liga Premier 2021 akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini.

Sementara itu, bekas jurulatih Kedah itu mahu barisan pemain negara menggalas tanggungjawab dan menyahut cabaran diberikan ketika beraksi di UAE nanti selain mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terus diberikan penyokong kepada skuad kebangsaan.

Beliau berkata sokongan positif diberikan penyokong sudah tentu akan membantu pasukannya untuk mencapai keputusan yang baik.

Pindaan jadual liga terbaharu itu menyaksikan skuad Harimau Malaya akan dapat mula berkumpul bagi kem latihan pusat bermula 16 Mei, seminggu lebih awal berbanding jadual asal sebelum ini.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan sebelum bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), untuk baki saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dengan ketiga-tiganya berlangsung di venue berpusat di UAE.

-- BERNAMA