Teka-teki sama ada jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan beraksi pada Piala Sudirman, akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa beliau tidak akan sertai kejohanan berprestij itu.

Selain itu, dua beregu profesional negara, Goh V Shen-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut tidak tersenarai dalam pasukan negara bagi menghadapi kejohanan itu Nanning, China, bulan depan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata Chong Wei terpaksa menangguhkan kemunculan semulanya dalam arena badminton selepas hampir setahun, atas nasihat doktor.

"Chong Wei telah mendapatkan nasihat daripada doktor dan beliau telah dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah mengenai proses pemulihannya. Beliau tidak boleh beraksi untuk kejohanan lagi.

Beliau berkata jika bekas pemain nombor satu dunia itu boleh membuat penampilan semula sebelum bulan Ogos, ia adalah suatu yang baik namun jika tidak, BAM akan menerima keputusan itu dan terus memberi sokongan kepada Chong Wei.

Dalam pada itu, katanya, BAM tidak meletakkan sebarang sasaran bagi kejohanan berpasukan campuran itu yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokto 2020.

"Kami percaya adalah amat sukar untuk Malaysia menang Piala Sudirman sebab itu kita pilih skuad campuran terdiri daripada pemain senior dan muda supaya mereka mendapat lebih banyak pendedahan.

"Kita tidak letakkan sebarang sasaran untuk pasukan untuk sampai tahap mana tapi kita tetapkan sasaran untuk setiap individu untuk pastikan mereka boleh capai tahap terbaik mereka, apa yang mereka mampu capai," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Wong Choong Hann berkata, secara peribadinya, beliau yakin Malaysia mampu mengatasi India pada peringkat kumpulan.

Beliau juga percaya skuad negara mempunyai kelebihan dari segi pemain beregu berbanding pemain perseorangan kerana India memiliki pemain perseorangan hebat seperti K. Srikanth, Saina Nehwal dan P.V. Sindhu.

Saingan Piala Sudirman yang bakal berlangsung dari 19 hingga 26 Mei depan menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China dan India.

BAM akan mendaftarkan 20 pemain sebelum tarikh tutup pendaftaran 3 Mei ini tetapi hanya 16 pemain akan dihantar ke Nanning.

Senarai Pemain:

Perseorangan lelaki : Lee Zii Jia, Cheam June Wei, Soong Joo Ven

Perseorangan wanita : Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying

Beregu lelaki : Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin

Beregu wanita : Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen

Beregu campuran : Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang Jie

-- BERNAMA