Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak akan bersemuka dengan musuh tradisi dan juara dunia empat kali, Lin Dan dari China di pusingan awal pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, bulan depan.

Dalam undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, kedua-dua pemain itu diasingkan di mana Chong Wei dijangka bertemu pemain China yang sedang meningkat, Wang Zhengming pada pusingan ketiga dan pemain nombor tiga dunia, Du Penyu di separuh akhir.

Selaku pemain nombor satu dunia, Chong Wei akan membuka kempen memburu gelaran sulung dengan menentang pemain Ireland Scotts Evans manakala Lin Dan akan mempertahankan gelaran dengan menentang pemain Amerika Syarikat, Sattawat Pongnairat.

Jika tiada sebarang kejutan, undian itu akan menyaksikan Lin Dan, yang layak atas tiket wildcard, hanya dapat berjumpa dengan Chong Wei di perlawanan akhir.

Bagaimanapun, Chong Wei terpaksa menempuh halangan getir dengan kehadiran pemain China, Chen Long dalam laluan sama.
-
Antara pemain lain yang akan memberikan impak pada kejohanan dari 5 hingga 11 Ogos ini ialah pemain ranking kelapan dunia dari Indonesia, Tommy Sugiarto dan Marc Zwiebler dari Jerman.

Dalam acara beregu lelaki, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong akan bertemu beregu dari India, Akshay Dewalkar/Pranaav Jerry Chopra pada pusingan pertama dan dijangka bertemu Nipitphon Puangpuapech/Maneepong Jongjit dari Thailand pada saingan pusingan kedua.

Koo/Tan dijangka mudah akan ke pusingan suku akhir dan bertemu pasangan ranking kelima dunia Kim Sa Rang/Kim Ki Jung dari Korea Selatan.

Pasangan beregu ke-11 dunia Hoon Thien How/Tan Wee Kiong menerima 'bye' pada pusingan pertama manakala pasangan Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari akan bertemu beregu dari Amerika Syarikat, Phillip Chew/Sattawat Pongnairat.

Beregu muda negara Lim Khim Wah/Goh V Shem akan bertemu pasangan dari Scotland, Martin Campbell/Patrick Machugh pada pusingan pertama.

Dalam acara beregu campuran, pasangan kelima dunia, Goh Liu Ying/Chan Peng Soon menerima 'bye' pada pusingan pertama manakala Tan Aik Quan/Lai Pei Jing akan bertemu beregu China, Tao Jiaming/Tang Jinhua dan Ong Jian Guo/Lim Yin Loo akan bertemu pasangan dari Jerman, Peter Kaesbauer/Isabel Herttrich.

Bagi acara beregu wanita pula, pasangan negara Ng Hui Ern/Ng Hui Lin akan bertemu beregu Amanda Brown/Kritteka Gregory dari New Zealand dan Goh Liu Ying/Lim Yin Loo akan menentang beregu Russia, Irina Khlebko/Ksenia Polikarpova.

Satu lagi beregu negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho akan bertemu Audrey Fontaine/Emilie Lefel dari Perancis manakala beregu nombor 14 dunia, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei menerima 'bye'
Wakil tunggal negara dlaam acara perseorangan wanita, Tee Jing Yi, akan memulakan kempen dengan menentang pemain Jepun, Sayaka Takahashi.