PETALING JAYA: Pemain Terengganu FC, Muhammad Safwan Mazlan disahkan positif COVID-19, beberapa hari sebelum bermula saingan Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja, Isnin ini.

Ketua Jurulatih Brad Maloney mengesahkan Muhammad Safwan yang dilaporkan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, kini tidak dapat beraksi dalam kejohanan tersebut.

"Ya, sebagai sebahagian daripada protokol biasa, semalam kita menjalankan ujian RTK-Ag ke atas semua pemain dan terdapat tanda seorang pemain (diuji positif COVID-19).

"Jadi, kami sudah kuarantinkan dia manakala kakitangan perubatan mengikut prosedur biasa," katanya yang ditemui pemberita di kem latihan pusat di sini hari ini.

Selain Muhammad Safwan, Maloney berkata tiga lagi pemain turut terlepas untuk aksi di Kemboja kerana komitmen terhadap kelab.

Dipercayai pemain tersebut adalah daripada pasukan Liga Premier, Johor Darul Ta'zim II iaitu T. Shaheeswaran, Muhammad Alif Abdul Mutalib dan Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Bagaimanapun, Maloney boleh menarik nafas lega apabila beliau berjaya memanggil empat pemain Selangor FC iaitu penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta tiga pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar untuk menyertai kem latihan pusat.

Sebelum ini, kesemua empat pemain itu merupakan tonggak membantu negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas menggungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia, Oktober lepas.

"Keempat-empat pemain ini telah menjadi sebahagian pemain teras sejak hari pertama dan mereka boleh menyertainya...amat bagus untuk memiliki mereka memandangkan saya percaya kehadiran mereka akan menambahkan kekuatan keseluruhan pasukan dan meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain," katanya.

Jurulatih berusia 50 tahun itu turut mengingatkan semua pemain supaya memberikan terbaik untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan persahabatan menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC, esok, sebelum beliau menyenaraikan barisan akhir pada Jumaat ini untuk kejohanan di Kemboja.

Sementara itu, Sikh Izhan Nazrel yang bersyukur diberi pelepasan oleh Selangor FC berkata beliau akan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk menambat hati Maloney memilihnya sebagai penjaga gawang utama negara pada aksi di Kemboja.

Beliau yang pernah menjalani sesi percubaan bersama kelab LaLiga2 di Sepanyol, CF Fuenlabrada, November lepas juga memaklumkan menimba pengalaman berguna di bumi Eropah itu terutama dalam aspek intensiti latihan yang secara tidak langsung mampu membantu meningkatkan prestasinya.

Dalam pada itu, Ahmad Zikri menolak andaian beliau dan tiga lagi rakan sepasukan yang melapor diri semalam sebagai pemain istimewa di mata Maloney, namun sebaliknya kesemua pemain termasuk dirinya yang terpilih ke kem latihan perlu membuktikan kebolehan masing-masing untuk tersenarai dalam skuad.

Skuad kebangsaan B-23 yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Feb depan.

Anak buah Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Feb di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Feb.

Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Feb.

-- BERNAMA