PETARUNG UFC berpengalaman, Donald 'Cowboy' Cerrone sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dalam acara utama di UFC Ottawa, Ontario, Kanada.

Cerrone, 36 tahun bertarung menentang 'Raging' Al Iaquinta, 32 tahun dalam perlawanan divisyen lightweight pada Ahad.

Walaupun berusia 4 tahun lebih tua, Cerrone nampak lebih bertenaga dan menyerlah dari pusingan pertama hingga pusingan kelima, sekali gus mendominasi pertarungan tersebut.

Iaquinta yang menduduki tangga keempat di ranking divisyen lightweight, gagal mencari jawapan kepada beberapa kombinasi tumbukan dari Cerrone yang menduduki tangga kelapan pada ranking divisyen sama.

Akibatnya, Iaquinta beberapa kali berjaya dijatuhkan Cerrone pada pusingan ketiga dan keempat.

Kecederaan pada Iaquinta juga nampak semakin jelas bermula pada akhir pusingan kedua.

Susulan itu, pengadil perlawanan memangil pengawai perubatan untuk memeriksa keadaan Iaquinta pada akhirnya pusingan keempat.

Bagaimanapun disebabkan penglihatannya masih jelas, dia dibenarkan untuk meneruskan pertarungan ke pusingan kelima.

Pusingan terakhir tidak menunjukkan banyak perbezaan kerana Cerrone masih mendominasi pertarungan.

Pada sepuluh saat terakhir, Cerrone cuba untuk mendapatkan kemenangan dengan cara TKO dengan melepaskan beberapa kombinasi tumbukan.

Namun loceng berbunyi terlebih dahulu menandakan pertarungan tamat.

Dengan kemenangan ini, Cerrone kini berjaya menang tiga pertarungan berturut-turut dan dijangka akan menduduki tangga 5 terbaik di ranking divisyen lightweight.

Selain itu, dia turut memperolehi jumlah kemenangan tertinggi di UFC dengan 23 kemenangan.

Pada sesi wawancara selepas perlawanan, Cerrone ditanya siapakah yang dia ingin berlawan selepas ni?

Dengan bersahaja, Cerrone memanggil nama Conor McGregor dan memberi gambaran pertarungan itu boleh berlaku seawal bulan July 2019.

Sebagai rekod, ini bukan pertama kali Cerrone memanggil McGregor untuk bertarung.

Pada akhir tahun 2018, mereka berdua saling memberi gambaran untuk bertemu di Octagon.

Namun pertarungan mereka tidak dapat direalisasikan kerana mengikut laporan, McGregor tidak bersetuju untuk bertarung pada slot 'co-main event'.

McGregor meletakkan syarat dia hanya akan bertarung pada slot acara utama sahaja dan ini tidak dapat dipersetujui oleh pihak UFC sendiri.