SUKAN
Cristiano Ronaldo kekal bersama Al-Nassr

Presiden FIFA, Gianni Infantino, baru-baru ini mencadangkan kemungkinan perpindahan Ronaldo ke kelab yang layak ke Piala Dunia Kelab akan datang. - AP
MUNICH: Cristiano Ronaldo dilaporkan menamatkan spekulasi mengenai masa depannya di peringkat kelab, dengan mengesahkan yang beliau akan terus bermain bersama kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Tiada apa yang akan berubah. Bermain di Al-Nassr? Ya," katanya seperti yang dipetik dalam beberapa laporan awal pagi Isnin selepas mengetuai Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA di Munich.
Ronaldo, 40, menyertai Al-Nassr pada 2023 selepas perselisihan dengan jurulatih Manchester United, Erik ten Hag. Kontrak semasanya bersama kelab itu adalah sehingga 30 Jun.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, baru-baru ini mencadangkan kemungkinan perpindahan Ronaldo ke kelab yang layak ke Piala Dunia Kelab akan datang. Ronaldo pada Sabtu mengesahkan yang rundingan memang berlaku, namun beliau tidak akan menyertai kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat itu.Pada Ahad, Portugal menewaskan Sepanyol 5-3 menerusi sepakan penalti untuk memberikan Ronaldo dan pasukannya trofi ketiga bersama skuad kebangsaan, selepas Euro 2016 dan Liga Negara-Negara 2019.
"Saya memenangi banyak kejuaraan, tetapi tiada yang lebih bermakna daripada menang bersama pasukan kebangsaan," kata pemenang lima kali Ballon d'Or itu.
Ronaldo menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit ke-61, yang membuka laluan kepada penentuan penalti, tetapi dikeluarkan pada minit ke-88 kerana kecederaan paha. Beliau juga menjaringkan gol kemenangan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pada Rabu.
Dua gol menentang Jerman dan Sepanyol itu menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya kepada 138 gol daripada 221 penampilan antarabangsa, kedua-duanya adalah rekod dunia bagi bola sepak lelaki.
Jurulatih Portugal, Robert Martinez berkata Ronaldo memainkan "peranan penentu" dalam kejayaan pasukan, walaupun ada pihak yang meragui sama ada pemain veteran itu masih mampu memberi impak besar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami