SPORTS
Dasar Sukan Mesra Islam jadi panduan Sukma 2028 - Exco

Zamakhshari berkata, panduan penganjuran itu bagi mencerminkan identiti Kelantan sebagai negeri Islam yang terbuka, progresif dan bersatu hati. - Bernama
KOTA BHARU: Dasar Sukan Mesra Islam akan menjadi panduan utama bagi memastikan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2028 benar-benar mencerminkan identiti negeri Kelantan sebagai negeri Islam yang terbuka, progresif dan bersatu hati.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata melalui dasar itu, Kelantan akan mengangkat Sukma sebagai sebuah temasya yang bukan hanya gah dari sudut prestasi, malah menjadi teladan dari aspek nilai, adab dan kesatuan.
"Dalam menghadapi dunia yang penuh dengan ketidaktentuan, kompleksiti dan perubahan mendadak, maka dasar sukan negeri Kelantan mestilah digarap dengan pendekatan yang lebih futuristik dan berdaya tahan.
"Kita tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan tradisional. Kelantan bertekad untuk menjadi pelopor kepada model sukan Islamik yang moden dan berdaya saing," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan antara kerajaan negeri dan Universiti Malaya yang diwakili Timbalan Naib Canselor Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata dasar dan polisi itu antara lain menyediakan garis panduan sukan mesra Islam untuk jurulatih, atlet dan pegawai pengurusan terutama dari aspek pemakaian sejajar dengan strategi penghayatan 'Membangun Bersama Islam' oleh kerajaan Kelantan.
"Kerjasama dengan Universiti Malaya adalah satu langkah bijak dan amat dihargai. Sumbangan dari segi kepakaran, penyelidikan dan pemikiran strategik akan memperkukuh pelaksanaan dasar ini terutamanya menjelang SUKMA 2028 ketika Kelantan menjadi tuan rumah," katanya.
Sementara itu, Kaharudin berkata Dasar Sukan Mesra Islam yang dibangunkan itu adalah buah fikir yang berani, progresif dan futuristik serta melangkaui dimensi teknikal dan prestasi dengan menekankan elemen kesederhanaan dalam pemakaian atlet, penyusunan masa latihan berteraskan ibadah, pengasingan jantina yang beretika serta penyantunan media dalam rakaman dan siaran langsung sukan.
"Saya percaya usaha ini akan meletakkan Kelantan sebagai peneraju dalam transformasi landskap sukan negara yang berteraskan nilai Islam dan pemangkin kepada pengukuhan model sukan mesra Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami