Deaflympics 2025: KBS bincang ganjaran Shakam bersama MSN

Hannah berkata semakan perlu dibuat selaras dengan kemampuan dana dan prinsip kesaksamaan antara semua kategori atlet. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membincangkan semula pemberian ganjaran di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk atlet pekak yang meraih pingat di Deaflympics Tokyo 2025 bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan semua atlet diraikan secara adil dan mampan.
Ringkasan AI
- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang semula dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk atlet pekak yang meraih pingat di Deaflympics Tokyo 2025, bagi memastikan kadar ganjaran adil dan mampan.
- Menteri Hannah Yeoh berkata semakan perlu dibuat selaras dengan kemampuan dana dan prinsip kesaksamaan antara semua kategori atlet, susulan dana khas yang mula disediakan oleh Perdana Menteri tahun ini.
- Dalam perkembangan lain, KBS akan memperbanyakkan program sukan di bawah inisiatif Rakan Muda tahun depan sebagai pendekatan membina sahsiah dan nilai sosial belia, selain memulihkan semangat komuniti melalui aktiviti sukan.
"Jadi kita kena pastikan dana yang disediakan itu mencukupi dan kalau kita nak bagi, apa kadarnya? Jadi kita kena bincangkan dulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bola Sepak CelcomDigi Kanak-Kanak di sini hari ini.
Beliau menegaskan KBS sentiasa menghargai pengorbanan setiap atlet negara namun proses semakan perlu dibuat secara teratur supaya setiap keputusan bersifat inklusif dan berhemah.
Sebelum ini, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menerima surat daripada MSN pada 17 Okt yang menyatakan kejohanan Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia tidak dapat dipertimbangkan kerana tiada dalam struktur pembayaran skim Shakam.
Ketika itu, atlet pekak negara membawa pulang 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi kedua temasya berkenaan.
Temasya Deaflympics Tokyo 2025 dijadual berlangsung dari 15 hingga 26 Nov depan.
Dalam perkembangan lain, Hannah menjelaskan kementeriannya melihat cabaran sosial anak muda masa kini bukan semata-mata sebagai masalah tetapi isyarat penting bahawa ruang interaksi dan pembentukan nilai dalam kalangan belia perlu diperkukuhkan.
Atas dasar itu, beliau berkata KBS akan memperbanyakkan program sukan di bawah inisiatif Rakan Muda tahun depan menjadikan sukan bukan sekadar kegiatan fizikal tetapi wadah membina sahsiah, disiplin dan rasa hormat antara satu sama lain.
"Bila mereka bermain sukan, mereka kena belajar menghormati undang-undang ataupun peraturan sukan tersebut. Jadi kadang-kadang bila hanya ada satu atau dua anak di rumah, mereka kurang peluang untuk bersosial dan menyelesaikan konflik sesama mereka," katanya.
Beliau menegaskan pihaknya kini menggunakan sukan sebagai pendekatan utama untuk memulihkan semangat komuniti dan membina semula nilai sosial dalam kalangan belia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


