PRESIDEN Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, kecewa dengan isu doping melibatkan dua atlet angkat berat dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022, September lalu.

Ayub turut menyifatkan keputusan PABM untuk menarik diri daripada terlibat dengan penganjuran Sukma 2022 sebagai tindakan tepat.

Sukan angkat berat tempatan terus terpalit isu penyalahgunaan bahan terlarang dalam temasya Sukma selepas badan induk itu menerima surat daripada Agensi Anti Dadah Malaysia (Adamas) bertarikh 23 Disember yang mengesahkan dua pemenang pingat angkat berat Sukma positif bahan terlarang jenis 'anabolic androgenic steroid'.

Menurut Ayub, kedua-dua atlet itu berdepan penggantungan sementara dan sekiranya didapati bersalah, mereka bakal berdepan hukuman penggantungan empat tahun daripada sebarang kejohanan tempatan mahu pun antarabangsa.

"Berita ini amat mendukacitakan PABM khususnya kerana pandangan kami tidak diterima oleh mereka.

"Dan akhirnya apa yang mereka hendak telah pun berlaku hari ini.

"Tindakan dan keputusan PABM sebelum ini adalah betul.

"Niat kami sebagai aktivis agar melihat reputasi sukan angkat berat ini dapat dipertahankan.

"Walaupun PABM tidak terlibat dan menarik diri (dalam penganjuran Sukma), tapi di peringkat antarabangsa ia dimasukkan sebagai salah satu kesalahan doping di bawah persatuan," katanya di Nadi Arena malam tadi.

BACA: Adamas tunggu maklum balas dua atlet angkat berat gagal ujian doping

Ayub turut mengakui sekiranya isu doping itu terus wujud, ia semestinya menyukarkan usaha PABM untuk mengembalikan angkat berat sebagai salah satu sukan teras di Malaysia.

Nadi Arena cuba mendapatkan maklum balas Majlis Sukan Negara (MSN) selaku pengelola dan penganjur Sukma 2022, tetapi difahamkan MSN masih menanti surat pengesahan daripada Adamas.

"Sebelum Sukma, kami sudah ada tiga kes sementara di luar pertandingan juga ada kes. Jadi kami berdepan hampir 10 kes.

"Saya bimbang kami akan digantung dan didenda lagi, malah hasrat untuk mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik Paris mungkin tergendala dan tidak tercapai," katanya.