DOHA: Dua gol pada masa tambahan separuh masa kedua memastikan Jordan bangkit daripada ketinggalan untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Asia 2023, selepas menewaskan juara 2007 Iraq 3-2 pada perlawanan pusingan 16 terbaik, yang berlangsung sengit di sini, hari ini.

Pada aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Jordan mendahului perlawanan di lewat separuh masa pertama, namun ketinggalan 1-2 sebelum bangkit meledak dua gol dalam tempoh dua minit pada masa tambahan babak kedua, dengan Nizar Al Rashdan menjaringkan gol kemenangan The Chivalrous Ones.

Iraq yang dibimbing Jesus Garcia, terlepas peluang untuk mendahului selepas minit ke-21 permainan apabila rembatan kaki kanan Hussein Haidar Ali dari luar kotak penalti, tersasar di kiri gawang.

Jordan yang banyak melancarkan serangan balas pantas, hampir menghukum kelekaan benteng pertahanan Iraq selepas Ali Olwan yang membuat larian ke dalam kotak penalti, gagal menyudahkan peluang keemasan apabila rembatan lemahnya diselamatkan penjaga gol Jalal Hassan pada minit ke-29.

Bagaimanapun, kekecewaan itu terbalas apabila Yazan Al Naimat yang memintas bola hantaran Amir Fouad, meluru pantas ke arah gol lawan sebelum memperdaya Hassan dan tenang menyumbat gol pertama Jordan bimbingan Hussein Ammouta pada masa tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Iraq yang menggandakan asakan berpeluang menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Haidar Ali, namun berjaya ditepis penjaga gol Yazeed Abulaila pada minit ke-56.

Abulaila sekali lagi bertindak cemerlang, apabila mengeluarkan percubaan dari jarak dekat Suad Natiq pada minit ke-67, namun Natiq pantas membalas kekecewaan itu apabila menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Ali Jasim, seminit kemudian untuk mengikat kedudukan.

Jaringan itu ternyata membakar semangat Iraq, yang berjaya meledak gol menerusi rembatan kencang penjaring terbanyak kejohanan Aymen Hussein dari jarak dekat pada minit ke-76, selepas Yazan Al Arab tertanduk bola ke belakang ketika cuba mengeluarkan hantaran dari sebelah kiri Merchas Ghazi Salih.

Namun, kegembiraan Hussein meraikan jaringan keenamnya pada kempen kali ini itu membawa padah, apabila dilayangkan kad merah selepas pengadil Alireza Faghani memberikan kad kuning kedua kepadanya, susulan gaya meraikan gol yang dianggap mengejek pihak lawan.

Situasi Iraq yang terpaksa bertahan dengan 10 pemain itu digunakan sepenuhnya Jordan apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Al Arab dan Nizar Al Rashdan, masing-masing di penghujung masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan pasukan.

Jordan yang akan membuat penampilan ketiga di pentas suku akhir, bakal membuat perhitungan menentang Tajikistan di Stadium Ahmad Bin Ali, Jumaat ini.

-- BERNAMA