KUALA LUMPUR: Seramai 2,000 peserta akan menyertai kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang dianjurkan secara secara maya bermula 26 Mac hingga 11 April ini.

Kejohanan tersebut buat julung kalinya mendapat sokongan tiga kementerian iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pengerusi MES 2021, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, selain mengembangkan industri e-sukan negara ke peringkat antarabangsa, penganjuran kejohanan itu juga untuk memberikan kesedaran mengenai kesihatan mental. 

"Tujuan saya menganjurkan kejohanan ini bukan sahaja sekadar untuk bermain 'game' dan bertanding secara kompetetif.

"Sebaliknya, kami juga ingin menyampaikan mesej-mesej tentang e-sport bahawa indistri ini boleh dimajukan ke tahap seterusnya.

"KBS yang akan menumpukan kepada belia-belia dalam industri ini, manakala KKM menyokong mesej untuk memberikan kesedaran kepada pemain mengenai kesihatan mental dan manfaat bermain e-sport. Ini kerana ada yang tidak tahu bahawa kita perlu seimbangkan masa dan tidak boleh bermain terlalu lama.

"Sementara KPT pula, sokongan diberikan kerana 40 peratus penyertaan akan melibatkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT)," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Aimanulhaq berkata pihaknya yakin bahawa industri e-sukan dapat berkembang lebih pesat, selain Malaysia berpotensi menjadi hos kejohanan antarabangsa.

Selain dapat mengharumkan nama negara, industri e-sukan dapat merangsang ekonomi dengan menarik pelabur dan syarikat luar negara.

"MES 2021 adalah salah satu platform untuk mencungkil bakat-bakat pemain dan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi, selain maju bersama dalam industri ini secara kompetitif.

"Kita boleh sasar menjadi hab e-sport yang terbaik di Asia Tenggara untuk bersaing dengan negara-negara lain seperti Indonesia," katanya. 

Tiga kategori akan dipertandingkan melibatkan peserta berusia 14 tahun hingga 45 tahun.

Kategori  kumpulan melibatkan PUBG dan Mobile Legends dengan hadiah masing-masing sebanyak RM40,000 menanti pemenang.

Sementara FIFA2021 pula kategori perseorangan, dengan tawaran hadiah sebanyak RM20,000.