PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui terkejut dengan prestasi hambar yang ditampilkan Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Beliau secara peribadi menjangkakan dengan barisan pemain serta kualiti dimiliki, skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan yang diletakkan sasaran untuk mara ke final, mampu melangkah lebih jauh berbanding terkandas di peringkat kumpulan.

Namun, beliau masih menaruh harapan terhadap keupayaan para pemain muda negara serta kredibiliti Elavarasan yang juga penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, untuk terus menggalas tugas menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September depan.

"Saya agak terperanjat dengan apa yang berlaku...tetapi dalam bola sepak kadang-kadang sesuatu yang kita tidak jangka boleh berlaku. Mungkin pada perlawanan-perlawanan akan datang Elavarasan boleh buat lebih baik lagi.

"Saya yakin dengan pasukan ini dan kemampuan Elavarasan untuk bawa pasukan, mungkin di Sukan SEA menjadi pengalaman pahit tetapi saya fikir dia akan bangkit daripada keputusan itu. Bagi saya pasukan ini boleh maju lagi dan mencipta kejayaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Logo Piala Al-Ikhsan 2023, di sini pada Rabu.

Mohd Yusoff yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus skuad B-23 tidak menolak kemungkinan faktor temasya Sukan SEA yang tidak berada dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA turut mempengaruhi pencapaian skuad itu di Kemboja.

Katanya, Elavarasan mungkin mampu membentuk skuad yang lebih berdaya saing dengan kombinasi pemain berbeza pada pertandingan dianjurkan dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA seperti pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Kita sendiri tahu ada beberapa pemain dalam kalangan umur ini (bawah 23 tahun), mungkin dua atau tiga orang di luar sana yang boleh memperkuatkan pasukan ini," katanya.

Pada Sukan SEA 2023 yang baru menutup tirainya minggu lepas, skuad B-23 kebangsaan kempunan mara ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat ketiga dalam saingan Kumpulan B di belakang Thailand dan Vietnam, sekali gus gagal mencapai sasaran ke final.

Ketika Mohd Yusoff menjadi pengurus Skuad B-23 kebangsaan, pasukan melakar sejarah mara ke pusingan akhir kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, meraih pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan menumbangkan Korea Selatan 2-1 pada aksi kumpulan di Sukan Asia 2018.

Terdahulu, pada Majlis Pelancaran Logo Piala Al-Ikhsan 2023, ia menyaksikan sebanyak 16 pasukan termasuk lima daripada Sarawak yang dibahagikan kepada tiga kumpulan zon akan berentap merebut gelaran juara sulung Piala Al-Ikhsan yang asalnya merupakan saingan Liga M4.

"Liga M4 wujud pertama kali tahun ini dan pada tahun pertama Al-Ikhsan bermurah hati memberikan tajaan jadi sebab itu ia dinamakan Piala Al-Ikhsan. Saya harap ini akan memberi nilai tambah kepada saingan dan pasukan-pasukan bertanding," kata Mohd Yusoff.

Pasukan yang menamatkan saingan Piala Al-Ikhsan 2023 di kelompok teratas berpeluang dinaikkan ke Liga M3 musim depan.

-- BERNAMA