Kisah skandal doping ibarat tiada penghujung -- terkini, empat pemenang pingat Sukma Sarawak didapati positif menggunakan bahan terlarang.

Dua atlet daripada sukan memanah dikesan menggunakan bahan mengandungi sibutramine, elemen yang sering terkandung dalam ubat pelangsing.

Sementara itu, seorang peninju dikenal pasti menggunakan bahan diuretics manakala steroid dikesan dalam sampel A seorang atlet angkat berat.

Dua bahan itu dikategorikan sebagai elemen yang mampu mempengaruhi dan merangsang prestasi seseorang atlet.

"Bagi pihak Majlis Sukan Negara, kami amat-amat sedih dengan apa yang berlaku dan sungguh mengecewakan.

"Tetapi mengambil kira jenis dadah yang terlibat, perlu ada satu tindakan program pembelajaran yang lebih teliti dan juga program untuk memberi peringatan, pengetahuan kepada atlet-atlet bahawa sebarang pengambilan bahan-bahan yang di luar kawalan doktor perubatan perlulah dirujuk kepada doktor," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) melaksanakan ujian ke atas 314 sampel urin, merangkumi 180 atlet lelaki dan 134 wanita daripada 12 jenis sukan ketika Sukma Sarawak.

"Kita akan memberi tempoh sehingga 15 Oktober untuk atlet-atlet tersebut, sama ada membuat pengakuan mengikut format yang kami telah sediakan ataupun mencabar dengan sampel B."

Persatuan sukan terbabit akan menerima surat rasmi berhubung isu ini untuk disalur dan dimaklumkan kepada atlet terbabit.

Ketika wakil peninju dan atlet angkat berat enggan memberi kenyataan, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tampil dengan kemahuan untuk menyiasat dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.