PEMAIN sayap Manchester United, Antony, menafikan dakwaan bahawa dia melakukan kekerasan fizikal ke atas bekas kekasihnya, yang mengakibatkan dia digugurkan daripada skuad kebangsaan Brazil.

Dalam satu temu bual bersama laman wab Brazil , UOL - yang turut menunjukkan tangkap layar perbualan pasangan itu - bekas teman wanita Antony, Gabriela Cavalin, mendakwa dia ditanduk oleh Antony di sebuah bilik hotel di Manchester pada 15 Januari lalu sehingga mengalami luka di kepalanya dan memerlukan rawatan doktor.

Cavalin, yang merupakan seorang pempengaruh media sosial, turut menuduh Antony menumbuk dadanya sehingga merosakkan implan di bahagian itu dan perlu menjalani pembedahan pemulihan di Brazil.

Satu lagi tuduhan mendakwa bahawa pada 8 Mei lalu, Cravalin mengalami luka di jari kerana mempertahankan dirinya, di mana dia mendakwa pemain kebangsaan Brazil berkenaan membaling penutup cawan ke arahnya selain mengambil pasportnya.

Cavalin dikatakan sudah membuat laporan kepada pihak Polis Civil Sao Paolo berkenaan dakwaan terhadap keganasan fizikal dan lisan yang dilakukan Antony sewaktu bercuti di Brazil pada Jun 2022 - ketika dia sedang mengandung - selain membuat laporan lain kepada pihak Polis Greater Manchester.

Dalam satu kiriman Instagram, Antony, yang ditandatangani United daripada Ajax dengan tanda harga £85.5 juta (RM502.61 juta) pada September 2022, menafikan dakwaan itu dengan menggelarnya sebagai 'tuduhan palsu'.

"Sebagai menghormati peminat, rakan dan keluarga saya, saya rasa bertanggungjawab untuk bercakap secara terbuka mengenai tuduhan palsu yang telah menjadikan saya sebagai mangsa," kata Antony.

“Sejak dari awal, saya telah menangani perkara ini dengan serius dan penuh hormat, memberikan penjelasan yang perlu kepada pihak polis. Siasatan polis adalah di bawah kerahsiaan kehakiman, dan oleh itu, saya tidak boleh mendedahkan kandungannya kepada umum.

“Bagaimanapun, saya boleh menyatakan dengan tenang bahawa tuduhan itu adalah palsu dan bukti yang telah dikeluarkan dan bukti lain yang akan dikemukakan menunjukkan bahawa saya tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibuat.

“Hubungan saya dengan Gabriela bergolak dengan penghinaan lisan daripada kedua-dua pihak tetapi saya tidak pernah melakukan sebarang keganasan fizikal.

“Pada setiap masa, sama ada dalam keterangan atau dalam temu bual, dia mengemukakan versi tuduhan yang berbeza.

“Oleh itu, saya di sini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat dan memaklumkan kepada anda bahawa saya masih berhubung dengan pihak berkuasa Brazil untuk menjelaskan apa sahaja yang perlu," katanya. - Stadium Astro