PEP GUARDIOLA memuji ikatan istimewa yang dimiliki Erling Haaland dan Kevin de Bruyne selepas kedua-dua pemain itu kini menghasilkan lapan kombinasi jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Gandingan itu sekali lagi mempamerkan keserasian mereka ketika City menewaskan Leicester City 3-1 hujung minggu lalu.

Haaland menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu untuk kini mengumpulkan 32 jaringan dalam EPL, menyamai rekod yang dilakukan Mohamed Salah dalam 38 perlawanan semusim.

Gol keduanya terhasil selepas dia menerima lorongan gemilang De Bruyne dan ia merupakan kali kelapan pemain kebangsaan Belgium itu membantu jaringan Haaland musim ini.

Mereka hanya ketinggalan satu jaringan lagi untuk menyamai rekod yang dilakukan gandingan Harry Kane dan Song Heung-min di Tottenham dan dua bekas pemain Liverpool, Stan Collymore dan Robbie Fowler.
"Saya fikir ikatan di antara Erling dan Kevin amat ketara," kata Guardiola.

"Saya fikir Kevin memerlukan seorang pelari untuk mempamerkan kualiti terbaiknya.

"Erling pula memerlukan seorang pengumpan untuk dia meneruskan rekod positifnya. Ia berlaku secara semula jadi. Kami banyak bercakap mengenai 'lihat kedudukannya dan apabila dia berlari, hantarkan bola ke arah itu'.

"Apabila bola di posisi yang tepat dan dia memiliki ruang, dia tidak lagi dapat dihalang, kita semua menyedarinya.

"Tetapi mereka mempunyai ikatan yang istimewa dan anda dapat melihatnya.

"Apa yang saya gemar tentang jaringan kedua itu adalah Kevin merebut bola. Saya gemarkannya. Dia memenangi bola dan selepas itu, larian dan penyudah Erling amat luar biasa," katanya.-- Stadium Astro