SINGAPURA: Liga Premier Inggeris (EPL) pada Khamis telah memperoleh perintah Mahkamah Tinggi Singapura untuk menghalang akses Internet kepada 25 laman web yang menyiarkan kandungan perlawanan bola sepak secara haram.

Dalam satu kenyataan media, EPL berkata, 25 laman web itu merupakan yang paling popular dalam penstriman kandungan haram.

Selain itu, liga itu juga telah mengheret beberapa syarikat penyedia telekomunikasi Singapura, termasuk M1, MyRepublic, SingTel, dan ViewQwest pada Februari berhubung isu hak cipta dan reka bentuk.

EPL berkata, kejayaan memperoleh perintah mahkamah itu merupakan sebahagian besar daripada usaha mereka untuk menangani masalah penyebaran kandungan perlawanan EPL secara haram di seluruh Asia.

Agensi berita CNA melaporkan, dengan keputusan terbaharu itu, kini lebih akses kepada lebih daripada 460 domain telah dihalang di Singapura.

Dalam pada itu Penasihat Undang-undang EPL, Kevin Plumbsaid berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Singapura, dan ia menunjukkan komitmen negara itu dalam melindungi harta intelektual.

“Dengan penutupan laman web cetak rompak ini, kami bukan sahaja menghentikan aktiviti haram, tetapi juga mengurangkan kemungkinan para peminat bola sepak untuk terjebak dalam penipuan.

“Kajian sebelum ini menunjukkan individu yang melayari laman penstriman haram di Singapura adalah empat kali lebih tinggi terdedah kepada ancaman siber, berbanding mereka yang melayari laman web arus perdana.

“Kami akan terus bekerja dengan rakan penyiaran kami StarHub, termasuk pihak berkuasa dan penyedia perkhidmatan Internet untuk terus menghalang akses kepada laman web seperti ini, dan memastikan peminat memahami bahaya yang sering dikaitkan dengan laman web itu,” katanya lagi.