ERIK ten Hag merungut kerana kurang konsisten dalam keputusan pengadil selepas dia kecewa dengan prestasi Anthony Taylor ketika Manchester United seri dengan Southampton pada Ahad.

United hanya mampu seri tanpa jaringan di Old Trafford selepas Casemiro dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama -- pemain Brazil itu diberi arahan keluar padang atas terjahan ke atas Carlos Alcaraz.

Taylor pada mulanya melayangkan kad kuning kepada Casemiro, tetapi ia dinaik taraf kepada kad merah berikutan semakan VAR, menyebabkan pemain tengah United itu jelas kecewa selepas ulangan menunjukkan dia memenangi bola sebelum melakukan sentuhan terhadap Alcaraz.

Ini bermakna Casemiro adalah pemain United pertama yang menerima dua kad merah dalam satu musim Liga Perdana Inggeris sejak Nemanja Vidic pada 2013-14, dan dia akan menjalani penggantungan empat perlawanan berbanding tiga kerana ia adalah layangan kad merah yang kedua.

Terjahan itu tidak terlalu berbeza dengan insiden pada Sabtu apabila Ricardo Pereira melakukan perkara yang sama terhadap Joao Felix dan terlepas daripada hukuman sepenuhnya, dan ia merupakan sebahagian daripada kekecewaan Ten Hag, setelah melihat beberapa rayuan penalti turut tidak diberikan.

"Apa yang saya fikir adalah keputusan yang tidak konsisten; pemain sudah tidak tahu lagi polisi dan peraturan apa yang diguna pakai, dan saya fikir ia berlaku di [setiap pertandingan]," kata Ten Hag.

"Kami melihatnya dengan Liga Perdana Inggeris semalam; Leicester-Chelsea, VAR tidak digunakan. Hari ini, ia digunakan terhadap pemain kami.

"Dan kemudian terdapat dua situasi penalti, tetapi VAR tidak digunakan juga. Terutamanya rayuan kami terhadap penalti pertama, jelas sekali bola terkena tangan, jadi apakah peraturan yang sepatutnya digunakan?"

Ten Hag ditanya sama ada dia meminta penjelasan itu daripada Taylor selepas itu, walaupun dia nampaknya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

"Sudah tentu, kami bercakap tetapi tidak banyak, jadi beberapa kami masih lagi memiliki persoalan terhadap keputusannya."