Bintang Formula One, Nico Rosberg mengejutkan peminat arena sukan permotoran apabila mengumumkan persaraannya hanya selepas lima hari menjadi juara dunia selepas beliau mengakhiri perlawanan di litar Abu Dhabi pada Ahad lalu.

"Semenjak mengetahui bahawa nasib memenangi gelaran tersebut di tangan saya sendiri, tekanannya menjadi besar. Dan pada masa itu, saya mula terfikir untuk menamatkan kerjaya saya sekiranya menjadi juara dunia," kata pemandu pasukan Mercedes itu di laman Facebook beliau.

"Pada pagi hari perlumbaan (Ahad) di Abu Dhabi, saya sudah mengetahui yang perlumbaan ini mungkin terakhir buat saya, perasaan tersebut menenangkan fikiran sebelum bermulanya perlumbaan. Saya mahu menghayati pengalaman itu kerana tahu ia mungkin kali terakhir," kata pelumba berusia 31 tahun itu.


Rosberg menamatkan perlumbaan di GP Abu Dhabi selaku naib juara, namun pencapaian itu sudah cukup untuk mengangkat beliau selaku juara keseluruhan saingan F1 musim 2016.