SUKAN
Fernandes tolak tawaran Al-Hilal, pilih kekal bersama Manchester United

Fernandes memilih untuk kekal di Old Trafford didorong oleh hasratnya untuk terus beraksi di peringkat tertinggi serta sokongan daripada keluarganya dan ketua jurulatih United, Ruben Amorim.
KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes, menolak tawaran lumayan daripada kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, kerana mahu terus beraksi "pada tahap tertinggi", menurutnya pada Selasa.
Pemain tengah Portugal itu mengakui, beliau mempertimbangkan perpindahan tersebut yang dilaporkan media bernilai empat kali ganda gajinya kini selepas dihubungi sendiri oleh Presiden Al-Hilal.
“Ada kemungkinan itu, Presiden Al-Hilal hubungi saya sebulan lalu untuk bertanyakan mengenainya,” kata Fernandes yang kini sedang membuat persiapan menentang Jerman bersama skuad Portugal.
“Tawaran itu besar dan cukup berani. Saya ambil sedikit masa untuk fikirkan masa depan.”Namun akhirnya, Fernandes memilih untuk kekal di Old Trafford didorong oleh hasratnya untuk terus beraksi di peringkat tertinggi serta sokongan daripada keluarganya dan ketua jurulatih United, Ruben Amorim.
“Saya bersedia jika Manchester United bersetuju, tetapi selepas berbincang dengan jurulatih Ruben Amorim yang benar-benar cuba halang saya - dan kelab menyatakan mereka tidak mahu menjual saya melainkan saya sendiri mahu pergi, saya buat keputusan untuk kekal,” katanya.
“Saya juga berbincang dengan isteri dan keluarga dan dia tanya apa matlamat peribadi saya dalam karier.
“Mudah sahaja untuk berpindah ke sana, tetapi saya mahu terus bersaing di pentas tertinggi dan saya rasa saya masih mampu. Saya gembira dengan keputusan ini.”
Fernandes, 30, menjaringkan 19 gol dan mencipta 19 bantuan jaringan dalam 57 penampilan bersama United musim lalu, sekaligus memenangi anugerah Pemain Terbaik Kelab buat kali keempat.
Bagaimanapun, musim lalu merupakan antara yang paling mengecewakan buat pasukan, apabila mereka menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-15 - kedudukan terendah dalam tempoh 50 tahun dan tewas di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur. - Reuters
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami