Datuk Seri Najib Tun Razak mengharapkan keajaiban berlaku sekali lagi kepada skuad bola sepak negara semasa bertemu Thailand pada final pusingan kedua kejohanan Piala Suzuki AFF, Sabtu ini.

Perdana menteri berkata beliau sendiri akan hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

"Malam tadi (skuad negara) kalah bola (kepada Thailand), tapi Sabtu ini saya akan hadir.

"Mudah-mudahan akan berlaku lagi keajaiban untuk kita bangkit semula sekali lagi, dan Insya Allah kita doakan kejayaan pasukan bola kita," katanya semasa berucap melancarkan Sistem Keahlian Umno Online di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Pada perlawanan final pusingan pertama malam tadi di Stadium Nasional Rajamalanga, Bangkok, skuad kebangsaan kalah kepada Thailand 0-2.

Sebelum itu, Skuad Harimau Malaya pimpinan Dollah Salleh melakukan keajaiban apabila bangkit menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir pusingan kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, dan mara ke final dengan agregat 5-4, walaupun kalah 1-2 pada pusingan pertama separuh akhir di Stadium Shah Alam.