JURGEN Klopp mengakui bahawa barisan pemain Liverpool terluka selepas tewas kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi tetapi mengisytiharkan The Reds akan kembali selepas kekalahan tipis di Paris itu.

Klopp turut menambah bahawa tiket perlawanan final di Istanbul musim depan sudah menjadi sasaran Liverpool sambil menyarankan penyokong pasukan itu untuk: "Tempah tiket hotel!"

Kekalahan tipis 0-1 kepada Madrid di Stade de France bermakna Liverpool menamatkan musim dengan julangan trofi Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL) walaupun berpeluang untuk mencabar kesemua empat gelaran.

Manchester City menafikan mereka daripada memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam perlawanan terakhir penuh dramatik hujung minggu lalu dan yang terbaru, jaringan tunggal Vinicius Junior dalam babak kedua menafikan mereka daripada memenangi UCL musim ini.

BACA: Liga Juara-Juara kembali ke bumi Madrid 

"Semua orang dalam bilik persalinan, tiada siapa berasakan ia satu musim yang hebat," kata Klopp kepada BT Sport selepas kekalahan itu.

"Kami mungkin memerlukan beberapa minit (untuk menerimanya), mungkin beberapa jam."

Klopp menambah, Liverpool telah memberikan segala-galanya selepas dia memberitahu pemainnya untuk lebih berani dalam babak kedua.

Vinicius menjaringkan gol tunggal menjelang sejam permainan dan Liverpool berhempas-pulas untuk mencari gol penyamaan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka, di mana Madrid menafikan percubaan Sadio Mane dan Mohamed Salah menerusi aksi cemerlang penjaga golnya, Thibaut Courtois, sebagai benteng terakhir.

Pemain kebangsaan Belgium itu melakukan sembilan aksi menyelamat, rekod paling tinggi dilakukan seorang penjaga gol dalam satu perlawanan final UCL (sejak musim 2003-04).


Klopp menambah, pada ketika ini, hanya dia sahaja daripada keseluruhan kontinjen Liverpool dapat melihat perlawanan itu daripada perspektif berbeza.

"Ia tidak sukar, saya sudah dapat menerimanya tetapi hanya saya seorang dalam bilik persalinan kami seperti ini.

"Saya tahu ini bukan kejayaan yang anda mahukan tetapi saya ada perasaan yang kuat bahawa kami akan kembali sekali lagi. Itulah yang akan berlaku kerana pemain kami amat kompetitif.

"Kami mempunyai pemain yang luar biasa dan akan mempunyai satu lagi pasukan yang kuat musim depan.

"Kemudian, kami akan melakukannya sekali lagi. Kami mungkin perlu mencubanya lebih banyak berbanding pasukan lain tetapi ia bukan masalah.

"Di mana (final) tahun depan? Istanbul? Sila tempah hotel," katanya lagi.