BARU sahaja kembali ke dunia badminton Malaysia, sudah pun ditegur dan diukur kemampuannya.

Perasaan tersinggung, sedikit marah dan tertekan dirasai oleh Morten Frost dalam menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sukan badminton amat popular.

Astro Arena melihat merata-rata kompleks badminton dibina. Sambutan menggalakkan dan selalunya penuh.

Malaysia telah melahirkan ramai ikon sukan badminton dunia antaranya Misbun Sidek, Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Wong Mew Choo dan ramai lagi.

Perbualan kini sudah pasti tentang Lee Chong Wei dan juara remaja dunia, Goh Jin Wei. Bagi menghasilkan lebih ramai bakat berperingkat antarabangsa, jurulatih juga memainkan peranan yang penting.

Di Malaysia, kita masih bergantung kepada tenaga asing walaupun ada peningkatan daripada jurulatih berprestij tempatan. Namun tidak cukup.

Secara tradisi peruntukan kewangan besar disalurkan kepada sukan badminton dan Persatuan Badminton Malaysia.

Morten Frost ikon badminton Denmark dipertanggungjawabkan menyelamatkan badminton negara.

Namun, baru-baru ini, bekas jurulatih negara, Rexy Mainaky yang pernah merangkul pingat emas Sukan Olimpik menegur Morten.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) ini tidak melihat sebarang perubahan positif dalam kem badminton negara.

Beliau juga hairan mengapa ada pemain perseorangan lelaki yang dilihat dapat menggantikan Lee Chong Wei jika digilap ditukar kepada acara bergu lelaki.

Tidak masuk akal.

Mungkin beliau yang membimbing Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong ke kedudukan teratas dunia dan di bawah beliau bergu Indonesia Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan berjaya memenangi Kejohanan Dunia 2013 dan 2015 dapat melihat program dan keputusan Morten tidak kena dengan situasi badminton Malaysia.

Selain Chong Wei, pemain lain terkial-kial untuk cemerlang di peringkat antarabagsa.

Morten sudah pasti tertekan.

Mungkin jurulatih tempatan lebih secocok dalam mengetuai barisan jurulatih dan membimbing pemain Malaysia. Lebih tahu tentang budaya sukan tempatan, karakter pemain, kemampuan, cabaran, dan isi hati pemain.

Tetapi, kalau berani cubalah. Kalau mampu, ambil cabaran ini.

Selagi tidak dapat mencari Pengarah Teknikal BAM tempatan yang lengkap dari segi pengalaman dan berpengetahuan dalam pentadbiran, selagi itu lah tenaga asing diperlukan.

Setakat ini, badminton Malaysia di tangan Morten Frost.

Setinggi gunung cabarannya.