FULHAM sah tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki lima perlawanan musim ini selepas dibelasah Watford 4-1 di Vicarage Road pada Selasa.

Skuad the Cottagers itu perlu mengelak kekalahan untuk keluar dari zon penyingkiran namun tidak mampu melakukannya selepas bolos tiga kali dalam babak kedua.

Pada babak pertama, Abdoulaye Doucoure meletakkan Watford di hadapan pada minit ke-23 sebelum Ryan Babel menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Namun dalam babak kedua, Watford kembali di depan pada minit ke-63 menerusi jaringan Will Hughes.



Troy Deeney melebarkan pendahuluan Watford enam minit selepas jaringan Hughes, sebelum Kiko Femenia melengkapkan malam gemilang Watford.

Kekalahan itu menyaksikan Fulham berada di tangga ke-19 dengan 17 mata daripada 33 perlawanan.

Watford pula naik satu anak tangga untuk menduduki tangga ke-8 liga dengan 46 mata.