Gabenor bantah penyertaan atlet Israel di Jakarta

Pramono menggesa penganjur membuat penilaian teliti sebelum menjemput atlet Israel, sambil menyatakan kehadiran mereka boleh mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia.
JAKARTA: Gabenor Jakarta Pramono Anung berkata beliau tidak akan membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025, yang dijadualkan berlangsung di ibu negara Indonesia itu akhir bulan ini.
Ringkasan AI
- Gabenor Jakarta Pramono Anung menegaskan tidak akan membenarkan atlet Israel bertanding dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025 yang berlangsung di Indonesia Arena dari 19 hingga 25 Oktober, atas sensitiviti rakyat Indonesia terhadap isu Gaza.
- Pramono merujuk ucapan Presiden Prabowo Subianto di PBB yang menyatakan sokongan tegas terhadap perjuangan Palestin, selari dengan pendirian pertubuhan Islam seperti Muhammadiyah dan Majlis Ulama Indonesia yang turut menolak kehadiran atlet Israel.
- Kejohanan ini merupakan kali pertama diadakan di Indonesia dan Asia Tenggara, hasil bidaan Persekutuan Gimnastik Indonesia yang diluluskan oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa pada Mei 2024.
"Bagi saya, perkara paling penting ialah tidak mengeluarkan visa supaya mereka tidak datang ke Jakarta.
"Tiada sebarang faedah untuk membenarkan mereka bertanding dalam keadaan semasa," katanya seperti yang dipetik oleh Metro TV News, pada Khamis.
Pramono turut merujuk kepada ucapan Presiden Prabowo Subianto di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menegaskan semula sokongan berterusan Indonesia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
"Apa juga yang berlaku di Gaza meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita semua. Ucapan Presiden Prabowo di PBB sudah jelas dan tegas," tambahnya.
Satu daripada pertubuhan Islam paling berpengaruh di Indonesia, Muhammadiyah, turut menolak penyertaan atlet Israel, dengan menyatakan ia bertentangan dengan semangat perlembagaan dan boleh menyinggung perasaan ramai rakyat Indonesia.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut mengambil pendirian yang sama, menyatakan bahawa membenarkan atlet Israel bertanding akan bercanggah dengan prinsip asas negara mengenai kemerdekaan dan keadilan di tengah-tengah serangan berterusan Israel di Gaza.
Pada Mei 2024, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa menamakan Indonesia sebagai tuan rumah Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025 selepas meluluskan bidaan yang dikemukakan oleh Persekutuan Gimnastik Indonesia (PB Persani).
Acara itu akan menjadi kali pertama kejohanan tersebut diadakan di Indonesia dan di rantau Asia Tenggara.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami