SEPAKAN penalti yang disempurnakan Raheem Sterling membenarkan Manchester City melakar kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan memastikan juara bertahan itu kekal di puncak apabila mengatasi Wolves 1-0.

City ke puncak liga buat pertama kali musim ini minggu lalu dan menggunakan kelebihan tersebut dalam memastikan mereka sekali lagi meraih kemenangan di Stadium Etihad.

Skuad kendalian Pep Guardiola diberikan jalan mudah apabila Raul Jimenez dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan separuh masa pertama atas dua kekasaran yang dilakukan dalam tempoh 31 saat.

Wolves sekali lagi berdepan kesukaran apabila pengadil perlawanan, Jonathan Moss, memutuskan bahawa hantaran silang Bernardo Silva terkena lengan Joao Moutinho, memberikan Sterling peluang untuk menjaringkan gol yang ke-100 dalam aksi Liga Perdana Inggeris menerusi sepakan penalti.