BEKAS pemain tengah Jerman, Bastian Schweinsteiger berkata, Pep Guardiola merupakan sebahagian individu yang menjadi punca kemerosotan pasukan kebangsaan.

Schweinsteiger menerusi perbualan bersama stesen radio Britain, Talksport berkata, Jerman kehilangan sebahagian daripada nilai mereka kerana cara jurulatih dari Sepanyol itu mengendalikan pasukan ketika bersama Bayern Munich.

"Apabila Pep Guardiola menyertai Bayern Munich, apabila dia datang ke negara ini, semua orang percaya kami perlu bermain bola sepak seperti ini, seperti hantaran pendek dan segala-galanya. Kami seperti kehilangan nilai kami," kata Schweinsteiger.

Schweinsteiger, yang bekerja sebagai pakar TV bermain di bawah Guardiola selama dua musim di Bayern berikutan ketibaan bekas jurulatih Barcelona itu ke Munich pada 2013. 

Schweinsteiger meninggalkan kelab itu pada 2015, manakala Guardiola berlepas ke Manchester City pada 2016.

Ia adalah tempoh sarat trofi untuk Bayern di bawah Guardiola, memenangi tiga gelaran Bundesliga, dua Piala Jerman dan Piala Dunia Kelab. Bagaimanapun, pasukan Bavaria itu tewas di separuh akhir Liga Juara-Juara dalam setiap tiga musim mereka di bawah Guardiola.

"Saya fikir kebanyakan negara lain melihat Jerman sebagai pejuang, kami boleh berlari sehingga tamat dan segala-galanya. Kekuatan kami hilang sepanjang tujuh, lapan tahun yang lalu. Kami melupakannya dan lebih fokus untuk bermain bola dengan baik antara satu sama lain. Itulah salah satu sebabnya," kata Schweinsteiger mengenai kemerosotan Jerman sejak 2016.

Joachim Löw adalah jurulatih Jerman pada masa itu, telah mengetuai pasukan itu merangkul kejuaraan Piala Dunia pada 2014 dengan Schweinsteiger memainkan peranan penting. 

Jerman mara ke separuh akhir Euro 2016, tetapi kecewa di kejohanan utama sejak itu.

Jerman gagal dalam peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018, hanya mencapai pusingan kedua Euro 2020, dan tersingkir di peringkat kumpulan sekali lagi pada Piala Dunia tahun lalu.

Di bawah pengganti Löw, Hansi Flick, Jerman hanya memenangi tiga daripada 11 perlawanan musim lalu. Pasukan itu mula dikritik peminat mereka sendiri semasa dan selepas tewas 2-0 di tempat sendiri kepada Colombia bulan lalu menjelang bertindak sebagai tuan rumah Euro 2024.

Sementara itu, Guardiola menikmati kejayaan bersama City, mengetuai kelab yang disokong Abu Dhabi itu memenangi trofi Liga Juara-Juara pertama mereka musim lalu, serta gelaran Liga Perdana dan Piala FA. - Stadium Astro