KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah tidak meletakkan sasaran tinggi dalam perlumbaan kedua di Grand Prix (GP) Doha di Litar Antarabangsa Losail, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan NTS RW Racing GP musim ini mengakui, masih belum menyesuaikan diri dengan jentera baharunya, sehingga gagal menamatkan perlumbaan selepas hanya melengkapkan 11 pusingan pada aksi pembuka tirai musim 2021 iaitu GP Qatar di venue sama, Ahad lepas.

"Saya masih cuba memahami jentera baharu ini secepat mungkin, walaupun masih lagi belum menerima banyak maklumat dan akan cuba sebaik mungkin sekali lagi di litar sama hujung minggu ini.

"Saya akui agak sukar, tetapi masih bersemangat untuk teruskan bersaing dan memahami jentera dengan lebih bagus," katanya dalam satu video yang dikongsikan kepada media pada Khamis.

Walaupun terkilan dengan prestasinya pada perlumbaan pertama, pelumba berusia 26 tahun itu tampak bersemangat untuk mempamerkan perlumbaan yang baik, pada saingan kedua Moto2 hujung minggu ini.

"Pada awal perlumbaan, saya akui masih bergelut untuk mengawal jentera dari segi melakukan selekoh termasuk sukar masuk ke selekoh dengan lebih laju atau keluar lebih cepat, serta kekal bersama pelumba lain di hadapan saya.

"Saya cuba memahami jentera pada pertengahan perlumbaan, walaupun saya ketinggalan di belakang tetapi nasib tidak menyebelahi saya apabila terdapat masalah pada bahagian 'rectifier' motosikal sehingga menyebabkan enjin terhenti," katanya ketika mengulas mengenai masalah dihadapi pada perlumbaan pertama musim ini.

Rectifier merupakan salah satu elemen dalam motosikal yang bertindak sebagai alat kawalan elektrik supaya volt dihasilkan lebih stabil.

Kedudukan terbaik Hafizh di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, adalah pada 2016 di mana beliau meraih tempat keempat ketika mewakili Petronas Raceline Malaysia.

-- BERNAMA