KUALA LUMPUR: Usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan sebahagian daripada semangat kemerdekaan yang perlu terus dipertahankan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kemerdekaan bukan sekadar membebaskan negara daripada penjajahan asing, tetapi juga menuntut keberanian menentang kezaliman dalam bentuk moden termasuk rasuah dan penindasan terhadap rakyat.
Advertisement
"Semangat kemerdekaan itu bukan sahaja menentang penjajahan asing, (tetapi) menentang kezaliman, menentang rasuah, menentang penyalahgunaan kuasa, menentang sikap memperhambakan rakyat sendiri, memperbodohkan rakyat.
"Merdeka ertinya bangkit rakyat, bangkit anak muda mempertahankan hak mereka, ini dia pendekar MADANI," kata Anwar ketika berucap pada Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kuantan, hari ini.
Tambah Anwar, kekuatan orang Melayu terletak pada semangat kepahlawanan yang dibina melalui disiplin, maruah diri dan harga diri.
Beliau menegaskan nilai tersebut perlu berteraskan akidah, ruh perjuangan Islam serta pembentukan akhlak dan sahsiah.