SPORTS
Hakim Danish tekad buru kemenangan pertama musim ini
Musim 2025 bermula dengan langkah kanan buat Hakim Danish pada pusingan pertama Rookies Cup di Litar Jerez apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan satu dan dua di tempat kedua. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bintang muda permotoran negara Muhammad Hakim Danish Ramli meneruskan misi memburu kejuaraan pertama musim ini pada pusingan kedua MotoGP saingan Rookies Cup di Litar Le Mans, Perancis hujung minggu ini.
ZK Racing dalam kenyataan memaklumkan litar bersejarah Le Mans menjadi pentas penting buat pelumba kelahiran Terengganu itu membuktikan kemampuan dan kesungguhan dalam memburu impian ke pentas dunia, selepas cemerlang meraih podium berganda pada pusingan pertama di Litar Jerez, Sepanyol bulan lepas.
Litar sepanjang 4.19 kilometer itu mempunyai 14 selekoh yang bakal menguji tahap kemahiran dan ketahanan fizikal pelumba muda dunia.
"Tahun 2025 menjadi detik penting dalam kerjaya Hakim Danish susulan sasaran tinggi daripada pasukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Racing yang diketuai oleh Zulfahmi Khairuddin.
"Prestasinya dalam Kejuaraan Dunia Junior GP dan MotoGP Rookies Cup ini akan memainkan peranan besar dalam menentukan masa depannya, termasuk peluang wildcard ke MalaysianGP pada Oktober ini," menurut kenyataan itu.
Musim 2025 bermula dengan langkah kanan buat Hakim Danish pada pusingan pertama Rookies Cup di Litar Jerez apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan satu dan dua di tempat kedua.
Pelumba berusia 17 itu kemudian membawa momentum tersebut ke Litar Estoril, Portugal bagi aksi pembuka tirai saingan JuniorGP dan sekali lagi berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.
-- BERNAMA