Hannah puji jurulatih Rosman Razak atas kejayaan Pearly-Thinaah di Masters Jepun

Hannah berkata, pencapaian pasangan Pearly-Thinaah (gambar) hasil usaha berpasukan termasuk individu yang sentiasa berada di belakang mereka ketika kejohanan. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memuji ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Pearly Tan dan M. Thinaah di Masters Jepun baru-baru ini.
Hannah berkata, pencapaian pasangan beregu Nombor 2 dunia itu, hasil usaha berpasukan termasuk individu yang sentiasa berada di belakang mereka ketika kejohanan.
"Jurulatih Rosman Razak telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang sejak mengambil alih latihan pasangan ini, dan Road To Gold (RTG) telah menghargai usaha baik beliau dengan kenaikan gaji yang diumumkan pada Jun tahun ini.
"Hasil kerja Rosman bersama Pearly-Thinaah, membuktikan bahawa Malaysia mempunyai jurulatih berkualiti, dan kita wajar mengiktiraf serta menghargainya dengan ganjaran yang setimpal dengan mutu mereka," katanya dalam hantaran rasmi di Facebook pada Isnin.
Hannah turut teruja untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan daripada tiga individu ini, yang memperlihatkan makna sebenar bakat, kerja keras dan perpaduan rakyat Malaysia.
Semalam, Pearly-Thinaah membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa dengan menewaskan pasangan tuan rumah Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 22-20, 21-19, dalam masa 54 minit.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,190).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


