Inkues Zara Qairina: Mahkamah bercadang adakan sesi ‘locus in quo’ di lokasi kejadian minggu depan

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner secara tentatif bercadang mengadakan sesi 'locus in quo' iaitu lawatan ke lokasi kejadian berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir di bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar minggu depan.
Peguam Shahlan Jufrim yang mewakili ibu Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat, bagaimanapun berkata tarikh tepat lawatan ke asrama sekolah itu belum diputuskan.
"Dijangkakan kita akan melawat Sekolah (MKA) Tun Datu Mustapha sekali lagi pada minggu depan tetapi tarikh akan ditentukan kemudian,' katanya kepada pemberita selepas prosiding inkues kes itu yang dijalankan secara tertutup hari ini.
Beliau berkata setakat ini, semua saksi kanak-kanak telah selesai memberi keterangan manakala prosiding pada Jumaat ini dijangka melibatkan seorang guru dan beberapa orang lagi akan dipanggil minggu depan.
Terdahulu, Shahlan berkata saksi kanak-kanak ke-23 dipanggil semula untuk memberi keterangan mengenai penerimaan beberapa barangan dan kertas bertulis yang dikaitkan dengan Zara Qairina.
Antara barangan yang dikemukakan sebagai bahan bukti dalam prosiding inkues itu ialah satu rantai kunci dengan patung avokado dan beberapa keping kertas.
Saksi memaklumkan mahkamah bahawa barangan itu diberikan oleh Zara Qairina melalui rakannya yang juga pelajar Tingkatan Satu namun dia tidak ingat tarikh sebenar menerimanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025 iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos tahun sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


