KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir apabila dijadual menentang dua pasukan di kedudukan ranking 100 terbaik dunia iaitu Syria dan China pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September ini.

Kedua-dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu akan berlangsung di Chengdu, China.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata skuad bimbingan Kim Pan Gon itu akan berdepan Syria pada 6 Sept sebelum membuat perhitungan menentang pasukan tuan rumah pada 9 Sept.

"Pengesahan bagi kedua-dua perlawanan ini dibuat menerusi penelitian dan perbincangan bersama antara pihak pengurusan bersama Pan Gon sendiri selepas majlis undian pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Khamis lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan itu sekali gus menepis khabar angin bahawa juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika, Mesir sebagai satu daripada lawan skuad negara pada September.

Sebelum ini, FAM mengesahkan terdapat perbincangan bersama Mesir dan China, namun agak sukar untuk menentang kedua-dua pasukan itu di negara mereka atas faktor perjalanan yang jauh.

Berdasarkan ranking dunia, China di kedudukan ke-80, Syria (94) dan Malaysia di posisi ke-136.

Dua aksi persahabatan antarabangsa itu penting buat anak buah Pan Gon dalam persediaan menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan, selepas mereka mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA sebelum ini.

Malaysia mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac, sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu bulan lepas.

-- BERNAMA