KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan bertekad untuk bangkit semula bagi melakar kemenangan ke atas pasukan tuan rumah pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Rayong Provincial, Thailand, esok.

Kapten Harimau Muda, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata semangat mereka ketika ini berada pada tahap tertinggi untuk memastikan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa dalam kejohanan itu selepas tewas 1 - 4 oleh juara bertahan Vietnam, pada aksi separuh akhir, semalam.

Muhammad Ubaidullah Shamsul bagaimanapun mengakui skuad kendalian E.Elavarasan itu perlu fokus dan bekerja keras sekiranya mahu menewaskan pasukan Thailand yang dilihat mempunyai kekuatan tersendiri.

"(Dalam) Perlawanan semalam, mesti ada rasa kecewa sebab tidak layak pergi final, tapi moral pasukan dalam keadaan yang baik dan saya percaya rakan sepasukan semua bersemangat untuk perlawanan seterusnya," katanya menerusi rakaman audio kepada media hari ini.

Muhammad Ubaidullah Shamsul berkata perlawanan esok penting dalam usaha skuad itu untuk menyumbang pingat gangsa untuk negara.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Kejohanan B-23 AFF ialah tempat keempat pada edisi sulung 2005.

-- BERNAMA