KUALA LUMPUR: Impian melihat skuad bola sepak wanita negara menghidupkan peluang ke saingan separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 terkubur apabila Malayan Tigress tewas 0-4 di tangan Thailand pada aksi keempat kumpulan A di Binan, Filipina malam ini.

Pada perlawanan di Stadium Bolasepak Binan itu, skuad wanita negara yang membawa misi mencatat keputusan seri terpaksa akur dengan kekuatan Thailand yang membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi Ploychompoo Somnuek.

Bersambung babak kedua, skuad Gajah Putih mengukuhkan kedudukan apabila mencetak gol kedua menerusi jaringan Pattaranan Aupachai pada minit ke-54.

Tidak terhenti di situ, Thailand menambah koleksi gol pada minit ke-73 hasil jaringan U-Raiporn Yongkul dan berbaki empat minit wisel penamat, Nutwadee Pram-Nak pula menghadiahkan gol keempat buat pasukan itu.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Jacob Joseph mengumpul dua mata untuk berada di kedudukan keempat kumpulan A manakala Thailand memperoleh 10 mata di tempat kedua.

Malaysia akan meneruskan aksi pelengkap kumpulan berdepan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Australia pada Selasa depan selepas hanya mencatatkan dua seri dan dua kekalahan sepanjang empat perlawanan diharungi.

Dalam pada itu, pasukan tuan rumah Filipina terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan apabila menundukkan Indonesia 4-1 untuk mendahului kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul 12 mata.

Skuad B-23 Australia turut mencatat kemenangan 4-1 ke atas Singapura untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tujuh mata.

Pada edisi 2019, yang merupakan kali terakhir pertandingan itu dianjurkan, Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul dua kemenangan daripada keseluruhan empat perlawanan.

Pencapaian terbaik pasukan wanita negara di Kejohanan AFF adalah pada edisi 2007 yang menyaksikan Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA