JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, bukan bertujuan untuk menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan negeri.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu sebaliknya diambil, bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Beliau berkata pelantikan juga dibuat dalam ruang kuasa pentadbiran kerajaan negeri, seperti yang dinasihatkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
“Adalah penting difahami bahawa Timbalan Exco bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO.
“Mereka tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
“Justeru itu, pelantikan ini tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mengubah struktur pentadbiran,” katanya.
Onn Hafiz berkata pengukuhan kapasiti pentadbiran itu juga, seiring dengan perkembangan pesat Johor yang sedang memacu pelbagai agenda strategik menjelang tahun 2030, termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek RTS Link.
“Seiring dengan perkembangan ini, kapasiti pentadbiran juga perlu diperkukuhkan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor,” katanya.
Mengenai aspek kewangan, Onn Hafiz berkata pelantikan dibuat mengikut kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum, menerusi penggunaan aset serta kemudahan sedia ada kerajaan negeri.
Beliau berkata tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri, susulan pelantikan itu.
“Pelantikan tersebut juga tidak mengubah mandat yang telah diberikan oleh rakyat melalui pilihan raya, sebaliknya merupakan satu mekanisme pentadbiran bagi memperkukuh pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya.
Onn Hafiz berkata pihaknya menghormati hak semua pihak untuk mengemukakan pandangan, namun menegaskan hal membabitkan pelantikan itu perlu dilihat secara menyeluruh berdasarkan prinsip pentadbiran, keperluan semasa serta kedudukan undang-undang.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab, dengan setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuh keupayaan pentadbiran negeri.
-- BERNAMA