India semakin hampir mempertahan kejuaraan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor apabila menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Australia 6-2 di Stadium Hoki Taman Daya di sini, pada Sabtu.

Namun, menanti mereka pada perlawanan akhir malam ini ialah Great Britain yang bukan calang-calang pasukan apabila skuad bimbingan Jon Bleby itu mengekalkan rekod tanpa kalah sejak kejohanan edisi keempat itu bermula 12 Okt lepas.

Malah, dalam pertemuan peringkat awal sebelum ini, Great Britain yang merupakan pasukan pilihan pada kejohanan kali ini, mengalahkan India 2-0.

Harmanpreet Singh muncul wira pasukan India yang hanya memerlukan seri pada perlawanan hari ini untuk mara ke perlawanan akhir, apabila menjaringkan hatrik pada minit kelima, ke-27 dan ke-44 manakala tiga lagi gol menerusi Parvinder Singh (ke-9), Simranjeet Singh (ke-19) dan Pawan Singh (ke-23).

Gol Australia pula dijaringkan Brendan Horner pada minit ke-24 dan ke-64.

"Saya percaya kami mampu mencatat kemenangan (ke atas Great Britain)," kata jurulatih India, Harendra Singh.

Sementara itu, Malaysia terus gagal mencatat kemenangan pertama apabila sekadar seri 2-2 bertemu Pakistan hari ini.

Walaupun menguasai sebahagian besar permainan, Pakistan terlebih dahulu membolosi pintu gol Malaysia menerusi pukulan sudut penalti Ali Mubashar pada minit ke-17 sebelum Muhammad Sharil Saabah menyamakan kedudukan pada minit ke-31.

Sharil terus cemerlang apabila meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-52 namun kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Mohsin Sabir menjaringkan gol kedua Pakistan empat minit kemudian untuk keputusan kekal sehingga tamat permainan.

"Jangan salahkan pemain. Saya terima tanggungjawab ini," kata jurulatih Malaysia Arul Selvaraj yang mengakui beliau kadang-kala terlalu menekan pemain untuk mendapatkan kemenangan.

Berikutan keputusan seri itu, Malaysia dan Pakistan akan bertemu semula pada 3.35 petang esok untuk penentuan tempat kelima dan keenam.

New Zealand yang tumpas 0-3 kepada Great Britain, pula akan bertemu Australia bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pada pukul 6.05 petang.

Perlawanan akhir antara Great Britain dan India akan berlangsung pada 8.35 malam.