Insentif cukai pendapatan 50 peratus galak penganjuran sukan bertaraf dunia - Hannah

Hannah berkata inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu dijangka menarik lebih banyak penganjuran sukan antarabangsa di Malaysia. - Gambar fail
CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik inisiatif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus kepada syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, selaras dengan usaha merancakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ringkasan AI
- Kementerian Belia dan Sukan menyambut baik pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus kepada syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, selaras dengan usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Menteri Hannah Yeoh menegaskan semua penganjur perlu mendapatkan kelulusan KBS bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan syarat seperti insurans serta permit pihak berkuasa tempatan, demi menjaga imej negara.
- Syarikat korporat yang menyumbang kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara layak menerima pengecualian cukai 100 peratus, sebagai galakan kepada sokongan terhadap pembangunan sukan negara.
"Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi kerajaan memperkasakan insentif cukai kepada syarikat yang mahu menganjurkan pertandingan bukan sahaja dalam bidang kesenian dan pelancongan tetapi juga sukan.
"Mereka akan diberi pengecualian cukai pendapatan 50 peratus, satu jumlah yang signifikan berbanding sebelum ini yang hanya 10 peratus untuk penajaan," katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah acara Lazada Run di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata semua penganjur kejohanan sukan antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan daripada KBS bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
"Kita tidak mahu mana-mana pihak menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa kebenaran negara. Jika tidak memenuhi syarat seperti insurans atau permit pihak berkuasa tempatan, ia boleh menjejaskan imej Malaysia.
"Justeru, saya menyeru mana-mana syarikat atau persatuan sukan yang berhasrat menganjurkan kejohanan antarabangsa supaya mendapatkan kebenaran daripada KBS terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Hannah memaklumkan bahawa syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) layak menerima pengecualian cukai 100 peratus.
-- BERNAMA
Kalkulator Belanjawan 2026 - Ketahui Apa Manfaat Anda di sini!


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami