SEPANG: Intensiti latihan Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon telah dipertingkatkan sebagai persiapan bagi mengharungi cabaran getir yang menanti pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan sehingga 10 Feb ini.

Pemain sayap kanan negara Mohamad Faisal Abdul Halim berkata peningkatan kadar intensiti latihan itu, telah dilaksanakan Pan Gon sepanjang seminggu kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula 26 Dis lepas, di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

"Tekanan memang terasa, seminggu berlatih tekanan pun tinggi, jurulatih Kim ada buat perubahan sikit dari segi intensiti...dari hari pertama berlatih sampai Sabtu kami diberikan intensiti latihan yang lebih tinggi.

"Pada saya, kita ada lagi dua minggu untuk sesuaikan dengan latihan intensiti lebih tinggi dan laju, dan permainan akan (bertambah baik) menjadi lebih sedap," katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mickey berkata demikian ketika ditemui sebelum pasukan negara berlepas ke Doha di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpu (KLIA) Terminal 1 di sini, tengah malam tadi.

Pemain Selangor FC itu berkata kesemua rakan sepasukan juga dilihat bersemangat untuk membuat penampilan di Piala Asia, yang disifatkan sebagai peluang terbesar untuk pasukan mengangkat semula nama Malaysia.

"Kita ke sana bukan sekadar melengkapkan kuota, tetapi untuk memberi saingan kepada pasukan lain," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Mengulas lanjut, Mohamad Faisal berkata fokus pasukan ketika ini ialah perlawanan pembukaan saingan Kumpulan E menentang Jordan, pada 15 Jan ini.

"Itu (aksi bertemu Jordan) merupakan titik penting kita, sekiranya berjaya mendapatkan keputusan positif pada perlawanan pertama, tiga mata atau pun seri, ia akan memberi semangat kepada pasukan untuk menghadapi Bahrain," katanya.

Selepas bertemu Jordan, anak buah Pan Gon yang menyasarkan untuk layak ke pusingan 16 terbaik akan berdepan Bahrain pada 20 Jan dan menutup saingan kumpulan dengan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik, akan layak ke pusingan 16 terbaik di Doha.

Malaysia tidak pernah melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Asia, selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.

-- BERNAMA