Ketua jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan kebangkitan Red Giants berterusan bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers FC bagi perlawanan kedua Piala AFC di stadium Shah Alam, malam esok.

Irfan ketika sidang media pra perlawanan tidak mahu anak buahnya dibuai mimpi dengan kejayaan cemerlang ke atas Johor Darul Takzim, tempoh hari.

Beliau menjangkakan pertemuan dengan Tampines adalah sukar memandangkan kedua-dua pasukan kalah pada perlawanan pertama.

"Saya jangka aksi sengit. Selain kedua-dua pasukan mahu menang, Tampines juga sebuah pasukan yang hebat kerana mereka dibarisi beberapa pemain kebangsaan dan natrulisasi." katanya.

Skuad Gergasi Merah membuka kempen saingan Piala AFC dengan kekalahan kepada East Bengal dari India 1-0 di laman lawan.

Manakala, Tampines dinafikan kemenangan oleh kelab Vietnam Sai Gon Xuan Thanh 2-3 di tempat sendiri.

Irfan turut menjelaskan mungkin terdapat perubahan formasi dalam kesebelasan utama pasukan selepas beberapa tonggak masih belum cergas sepenuhnya terutamanya pemain sayap S. Kunanlan.

"Saya akan putuskan kesebelasan utama pasukan pada latihan terakhir petang ini."

Sementara itu, pengendali Tampines Rovers Nenad Bacina menjelaskan moral anak buahnya tetap tinggi biarpun tewas pada perlawanan pembukaan, tempoh hari.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata kemenangan tiga perlawanan dalam aksi domestik baru-baru ini menyuntik semangat anak buahnya untuk pertemuan dengan Selangor.

"Kami berjaya menang tiga perlawanan domestik termasuk aksi Piala Sumbangsih. Saya percaya, ia mampu beri keyakinan kepada pemain untuk bertemu Selangor."

Tampines yang juga juara Liga S musim lalu diperkuatkan dengan pemain kebangsaan Singapura yang memenangi Piala Suzuki AFF 2012 antaranya Aleksandr Duric, Mustafic Fahrudin, Shahdan sulaiman, Shaiful Esah dan Khairul Amri Mohamad Kamal.