Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan pertemuan empat mata, dengan atlet pecut muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi, bagi mengenal pasti keperluan atlet berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata pihaknya sedang mencari masa yang sesuai, memandangkan Muhammad Azeem masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, di Perak.

"Kita akan buat ujian untuk mengenal pasti karakter beliau dahulu, kerana kami perlukan maklumat asas seperti ketinggian, kepanjangan kaki dan beberapa hal berkaitan fizikal beliau.

"Daripada situ kita akan berikan maklumat kepada jurulatih sekarang untuk 'fine tune' dan buat penambahbaikan terhadap kaedah latihan, kerana kami berpendapat kita harus biarkan beliau dalam 'setting' semasa," katanya.

Muhammad Azeem, 15 tahun, diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B-16) dalam acara 200 meter (m) menerusi catatan 21.24 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor minggu lepas.




Ia adalah berdasarkan kajian terperinci dilakukan oleh ahli Kesatuan Statistik Balapan dan Padang (ATFS), Jad Adrian Washif.

Ditanya mengenai latihan serta penyertaan kejohanan di luar negara, Ahmad Faedzal berkata beberapa faktor perlu diambil kira, selain perlu mendapatkan pandangan daripada tuan punya badan sendiri.

"Untuk bertanding di luar negara, ia bukan perkara baharu buat Muhammad Azeem. Untuk latihan, kita kena bincang kerana perlu lihat faktor seperti kesesuaian, kesediaan, psikologi dan persekitaran atlet berkenaan.

"ISN juga mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim demi masa depan permata baharu negara itu," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika ditemui pada Jumaat berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih menunggu jawapan daripada Muhammad Azeem, berhubung tiga tawaran yang dikemukakan kepada atlet berkenaan.

Tiga tawaran daripada KBS adalah berlatih di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil untuk diberikan segala kemudahan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN, atau kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut keperluan.

"Saya bersama Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) berkesempatan berjumpa dengannya dan jurulatih. Apabila bertanyakan kepada jurulatihnya tentang usaha KBS untuk bawa dia (Muhammad Azeem) ke luar negara ataupun ke Bukit Jalil, jurulatihnya menyatakan persetujuan kerana keutamaan adalah buat Azeem dan juga keluarganya.

"Kita beri pilihan ini adalah kerana kita mahu berikan masa kepadanya, memandangkan ketika itu dia belum berbincang lagi dengan ibu bapanya serta jurulatih. Seminggu daripada sekarang, saya akan dapat maklumat balas daripadanya," katanya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata keistimewaan wajar juga diberikan kepada jurulatih yang melatih Muhammad Azeem termasuk mendapat faedah sama, sekiranya pelari pecut muda itu memilih salah satu daripada tawaran KBS.

"Setiap pagi jurulatihnya mengharungi perjalanan dua jam setengah untuk ke tempat latihan daripada rumahnya dan itu menunjukkan beliau ikhlas serta begitu komited melatih Azeem.

"Jasa jurulatih begitu besar dan apa yang dilakukan dalam mencungkil bakat itu adalah rahsianya. Kami pun sudah berikan tawaran kepada jurulatih sekiranya dia mahu ikut sekali," katanya.

Pada ketika ini, Muhammad Azeem dibimbing di bawah jurulatih Amir Izwan Tan. -- Bernama