KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita yang pertama sebagai inisiatif menangani isu-isu kesihatan atlet wanita di Pusat Perubatan Sukan Negara, ISN.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata klinik itu diwujudkan selepas menerima maklum balas menerusi sesi townhall dikendalikan bersama atlet wanita negara pada Ogos lepas.

"Ketika sesi townhall itu, atlet wanita menyuarakan pendapat yang saya anggap penting untuk kita selesaikan.

"Ada antara mereka memberitahu mengalami kesakitan setiap bulan dan tiada doktor wanita atau pakar obstetrik dan ginekologi di sini yang boleh memberi nasihat kepada mereka, dan terpaksa beratur di hospital luar menunggu janji temu," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke klinik itu di sini hari ini.

Hannah berkata masalah berkenaan menyebabkan waktu latihan mereka terganggu, terpaksa menahan sakit serta tidak tahu di mana mendapatkan nasihat pakar.

"Kita tidak boleh mengharapkan jurulatih lelaki memberikan nasihat tentang perkara ini kerana kemungkinan mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai isu-isu kesihatan wanita.

"Ia juga menimbulkan perasaan malu dalam kalangan atlet untuk bertanya pendapat sehingga ada yang meminta nasihat daripada rakan-rakan dan ahli keluarga sekali gus mencetuskan masalah jika mereka mengambil ubat tanpa preskripsi dan mengakibatkan isu doping," katanya.

Justeru, ISN melantik Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat Dr Jerilee Azhary untuk mengendali serta seorang doktor wanita secara tetap, Dr Wan Nadiah Zainab Wan Azman bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada atlet-atlet wanita negara.

Antara perkhidmatan disediakan adalah khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.

Klinik yang dibuka sejak 4 Okt lepas, beroperasi setiap Rabu dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Sementara itu, Hannah mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia selepas muncul juara Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland, menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong 21-14, 21-15 pada aksi final, Ahad lepas.

"Tahniah kepada Lee Zii Jia, kerana mampu bangkit semula untuk menang gelaran setelah sekian lama," katanya.

-- BERNAMA