SUKAN
Isu dana skuad lebuh raya ke Sukan SEA Thailand dijangka selesai minggu ini - MSN

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya bersetuju menghantar kedua-dua pasukan menerusi Kategori A, namun jumlah bantuan bergantung kepada hasil perundingan dengan PKBM. - Bernama
KUALA LUMPUR: Isu tuntutan dana membabitkan Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) untuk membentuk skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand dijangka dapat diselesaikan minggu ini selepas rundingan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya bersetuju menghantar kedua-dua pasukan menerusi Kategori A, namun jumlah bantuan bergantung kepada hasil perundingan dengan PKBM memandangkan jumlah permohonan yang agak besar.
"Kita akan beri bantuan, tetapi jumlahnya bergantung pada perundingan dengan persatuan kerana permohonan tersebut besar dan perlu disesuaikan dengan peruntukan sedia ada.
"Kali ini, hampir 50 persatuan sukan dan 50 jenis sukan terlibat dengan hampir 800 hingga 900 atlet. Jumlah keseluruhan sangat besar untuk ditanggung kerajaan."Oleh itu, saya harap semua pihak terutama persatuan bersabar dan menunggu pengumuman rasmi bantuan yang akan diberikan," katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini, hari ini.
PKBM sebelum ini mengemukakan permohonan dana tambahan RM250,000 kepada MSN pada 31 Julai lepas bagi menyokong persiapan dua pasukan berstatus benua negara, TSG dan MPC.
Setiausaha PKBM Ahmad Arif Astaman berkata skuad lebuh raya negara terdiri daripada empat pelumba TSG, empat pelumba MPC dan seorang pelumba skuad kebangsaan.
"Kita beri peluang kepada MSN membuat pertimbangan manakala PKBM akan berbincang dengan pasukan terbabit. Misi utama adalah mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dalam dua edisi berturut-turut," katanya.
Sebelum ini, TSG dan MPC memberi amaran tidak akan melepaskan pelumba ke Sukan SEA jika permohonan bajet tambahan tidak diluluskan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami