GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan selari, iaitu siasatan jenayah dan siasatan tatatertib secara serentak berhubung insiden tular membabitkan seorang anggota polis yang didakwa memijak kepala seorang lelaki ketika tangkapan di Kulim, Kedah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan mendedahkan hasil siasatan selepas siasatan selesai dijalankan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta siasatan dalaman berkaitan tindakan tatatertib.
Advertisement
“Kedua-dua siasatan ini sedang berjalan. Jadi, beri ruang kepada pihak polis untuk menyiapkan siasatan dan hasil serta tindakan lanjut akan diumumkan,” katanya selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam salah laku.
Ayob Khan berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi tangkapan sememangnya telah ditetapkan dan membenarkan penggunaan kekerasan dalam keadaan tertentu.
Beliau bagaimanapun berkata dalam situasi tertentu, khususnya apabila tindakan suspek boleh mengancam keselamatan, tahap kekerasan yang digunakan mungkin berbeza dan perlu dinilai berdasarkan keadaan semasa.
“Memang ada SOP yang ditetapkan dan anggota boleh menggunakan kekerasan minimum jika suspek melawan, namun kekerasan itu mestilah munasabah tetapi itu kadang-kadang ada ‘garisan kelabu’ juga, ada kekerasan yang kami kena tengok juga.
“Jika tindakan suspek melawan dan boleh mengancam keselamatan, takkan kami nak gunakan kekerasan minimum, mesti kekerasan yang lebih,” katanya.
Sebelum ini, PDRM mengesahkan video tular yang memaparkan kejadian tangkapan membabitkan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim yang berlaku ketika operasi rondaan cegah jenayah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang lelaki ditarik dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis berkenaan.
-- BERNAMA